‘Jasa’ Abdul Wahid kepada Najib – Kadir Jasin

‘Jasa’ Abdul Wahid kepada Najib – Kadir Jasin

Laporan media ekonomi yang belum sah mengenai kemungkinan Abdul Wahid Omar dilantik menjadi Pengerusi Bursa Malaysia Berhad menggembirakan banyak orang yang tidak tahu dan mendukacitakan sebilangan kecil yang tahu.

Umumnya, bekas Menteri Kabinet era Mohd Najib Abdul Razak itu mendapat “review” yang positif. Malah dia sering diuar-uarkan sebagai antara eksekutif korporat Bumiputera terulung.

Saya bernasib baik mengenalinya agak lama. Tetapi sebaik saja diumumkan yang dia dijadikan Senator dan dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai ekonomi pada tahun 2013, saya segera memberitahunya bahawa dia telah melaklukan kesilapan menerima pelantikan itu.

Dia menjawab: “National service.” (Khidmat negara). Itulah alasan yang kerap saya dengar tetapi paling tidak saya yakini.

Ketika itu dia Presiden dan Pegawai Eksekutif Malayan Banking Berhad.

Apa yang tidak diketahui ramai – termasuk saya sendiri – ketika itu ialah pelantikannya ada kaitan dengan “jasa” yang dia lakukan untuk Mohd Najib.

Maaf cakaplah kalau saya kata bahawa kerana “jasa” kepada Mohd Najib itulah maka Abdul Wahid mungkin tidak layak diberi tugas dan kepercayaan untuk mengepalai Bursa Malaysia.

“Jasa” Abdul Wahid kepada Mohd Najib itu telah membawa padah besar kepada negara. Ia ada kaitan dengan peristiwa dan perkembangan yang akhirnya membawa kepada tuduhan rasuah dan pecah amanah terhadap Mohd Najib dan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2018.

KWAP-SRC

Pada tahun 2011, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) telah memberi pinjamam RM2 bilion kepada SRC International Sdn Bhd dan pada tahun berikutnya, RM2 bilion lagi dengan dijamin oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan.

KWAP adalah badan yang diamanahkan menjaga duit pencen kakitangan awam. SRC International pula adalah syarikat bermodal RM2 yang asalnya milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sampai hari ini pun kita tidak tahu apa perniagaan SRC International dan kegunaan duit RM4 bilion itu selain dakwaan kononnya sebanyak AS$60 juta (kira-kira RM258 juta) telah dilaburkan bagi membuka lombong arang batu di Mongolia – negeri Altantuya.

Apa yang kita tahu ialah sebanyak RM42 juta masuk ke dalam akaun peribadi Mohd Najib dan kira-kira RM3.6 bilion dihantar ke seberang laut melalui beberapa buah anak syarikat luar pantai dan didepositkan ke dalam bank-bank persendirian seperti BSI Bank, Switzerland dan Julius Baer & Co, Hong Kong.

Duit inilah yang sebahagiannya dipercayai masuk ke dalam akaun Jho low dan sekutu-sekutunya, termasuk anak tiri Mohd Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz.

Sehingga Oktober tahun lalu, Kementerian Kewangan telah membayar RM1.73 bilion kepada KWAP bagi pihak SRC International. Ini adalah duit rakyat jelata dan pembayar cukai.

Ketika SRC International meminjam daripada KWAP, Mohd Najib adalah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan merangkap Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Abdul Wahid adalah antara ahli Panel Pelaburan KWAP yang meluluskan pinjaman RM4 bilion tersebut. Yang lain termasuklah Mohammed Azlan Hashim yang baru saja dilantik semula menganggotai Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad.

Bursa Malaysia ini adalah tonggak kepada pasaran modal negara. Bursa Malaysia Berhad adalah syarikat milik kerajaan melalui Kementerian Kewangan. Peranannya ialah menguruskan Bursa Malaysia. Serentak itu, sahamnya turut diniagakan di pasaran tersebut.

Kesimpulannya, walaupun saya kenal baik dengan Abdul Wahid dan menyanjungi idealismenya sebelum terpalit dengan politik dan dia pula terus menunjukkan kesopanan (civility) terhadap saya, namun saya rasa cadangan untuk melantiknya bagi mempengerusikan Bursa Malaysia wajib difikirkan semula.

Apatah lagi Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, sendiri dilaporkan telah menggunakan isu tadbir urus (governance) sebagai alasan menamatkan perkhidmatan Shireen Ann Zaharah sebagai Pengerusi Bursa Malaysia.

Ramai tahu bahawa Abdul Wahid dan Zafrul berkongsi latarbelakang sebagai eksekutif tertinggi Malayan Banking.

Persoalannya, apakah Kerajaan Perikatan Nasional tidak tahu semua ini atau ia tahu tetapi tidak peduli kerana ia mempunyai kuasa untuk menyingkir dan melantik.

Saya juga hairan dan kecewa dengan sikap majoriti pemimpin Pakatan Harapan mendiamkan diri membiarkan eksekutif yang mereka sendiri lantik secara kolektif dibuang dan dianiaya.

Kalau inilah sikap dan amalan pemimpin politik Malaysia, hanya eksekutif dan ahli profesional kelas ayam saja yang bersedia dilantik ke jawatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Wallahuaklam. Terima kasih.

Sumber : https://kadirjasin.blogspot.com/2020/04/persoalan-berkaitan-ura-ura-pelantikan.html