Jawapan kepada persoalan dibangkit Dr Roland berkaitan vaksin Covid-19

Jawapan kepada persoalan dibangkit Dr Roland berkaitan vaksin Covid-19

Saya merujuk video bertajuk berkenaan vaksin Covid-19 oleh Dr Roland Victor. Jelas bahawa sikap Dr Roland amat negatif terhadap vaksin Pfizer-BioNTech dan hanya fokus kepada kesan sampingan vaksin ini, tanpa memberi penjelasan menyeluruh.

Ini sama seperti tindakan empat NGO sebelum ini yang meremehkan vaksin mRNA dalam kenyataan media mereka bulan lalu.

Saya akan berusaha untuk memberi gambaran yang lebih menyeluruh dan menjawab secara khusus perihal kesan sampingan vaksin mRNA.

Dr Roland dan peminatnya harus maklum bahawa kedua-dua vaksin mRNA, iaitu Pfizer dan Moderna, mempunyai kadar berkesan 95 peratus. Sila beritahu saya jika ada vaksin lain yang kadar keberkesanannya (vaccine efficacy, VE) lebih tinggi daripada Pfizer.

Jika salah satu daripada NGO, Covid Research Centre memilih ubat ubat Ivermectin yang banyak digunakan untuk bunuh parasit dalam binatang, Dr Roland pilih ubat apa pula?

Pfizer dan Moderna telah menerbitkan keputusan ujian fasa ketiga mereka dalam New England Journal of Medicine (NEJM), iaitu jurnal perubatan yang tersohor di dunia.

Apa pilihan vaksin Dr Roland? Diharap boleh kongsi pautan jurnal supaya boleh dikaji keberkesanan dan keselamatannya.

Kajian Pfizer dan Moderna menggunakan 73,000 subjek. Ini penting untuk memastikan kajian yang dibuat memberi rumusan tepat. Berapa subjek dalam ujian vaksin pilihan Dr Roland? Atau berapa subjek dalam kajian ubat-ubat yang digunakan Dr Roland dalam rawatannya seharian?

Pfizer and Moderna telah pun digunakan sebanyak 140 juta dos di lebih 60 buah negara. Berapa dos vaksin pilihan doktor yang telah digunakan? Atau memang doktor tak percaya kepada vaksin, tetapi tak nak kata secara terus terang?

Semua penerbitan ini dan nombor kes dan dos yang digunakan penting agar kita dapat mengesahkan sama ada kenyataan yang dibuat oleh pembuat vaksin itu benar atau tidak.

Baca: Saya bukan antivaksin – Dr Roland Victor

Masalah Dr Roland ialah dia banyak mengutuk vaksin Pfizer tetapi tidak memberi pilihan atau penyelesaian kepada masalah Covid-19. Dia harus bersikap “menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukan sebahagian daripada masalah”. Nampaknya doktor lebih menjadi antara masalah.

Anak saya yang aktif di media sosial memberitahu bahawa Dr Roland tidak percaya bahawa pandemik ini sebagai suatu kebenaran. Malah doktor menyatakan bahawa “this pandemic is the greatest hoax of human history” (pandemik ini pembohongan yang paling besar dalam sejarah kemanusiaan).

Padanlah Dr Roland begitu mengkritik vaksin Pfizer. Rupa-rupanya doktor antara yang percaya kepada teori konspirasi. Mungkin dia pengikut Judy Mikovits, yang siri video “plandemik” yang berasaskan teori kospirasi dan mempromosikan matlumat palsu dan fahaman antivaksin.

Taktik cetuskan ketakutan

Walaupun saya tak setuju dengan doktor, tetapi saya harus hormati pandangannya. Itu hak dia. Seperti kata-kata Oscar Wilde:

“I may not agree with you, but I will defend to the death your right to make an ass of yourself.”

Tetapi apabila doktor menggunakan media sosial untuk mempengaruhi pendengarnya, maka saya harus membetulkan dakwaan yang dilemparkannya dengan semborono. Saya agak kecewa apabila ada doktor lain yang termakan dengan kata-katanya. Bukankah doktor-doktor dilatih dengan seni perubatan berasaskan bukti? Anda harus kenal apa itu fakta, apa itu auta.

Sebelum ini saya telah pun memberi fakta mengenai keberkesanan vaksin Pfizer. Anda boleh semak fakta dengan merujuk kepada kajian yang telah diterbitkan dalam peer-reviewed jurnal yang saya lampirkan.

Kajian yang paling mutakhir menunjukkan bahawa vaksin Pfizer bukan sekadar mencegah 95 peratus daripada jangkitan Covid-19, tetapi ia juga mencegah penularan virus dengan kadar 75 peratus (kajian Pusat Perubatan Sheba) dan 89 peratus (kajian Kementerian Kesihatan Israel).

Kenapa doktor sembunyikan semua penemuan ini? Ini memang salah satu taktik golongan antivaksin. Atau mungkin juga dia tidak membaca jurnal mutakhir perubatan tetapi hanya mencedok daripada laman-laman antivaksin yang sedia ada.

Sekarang kita fokus kepada kesan sampingan, atau Adverse Effects Following Immunisation (AEFI), yang doktor baca daripada prescription drug label vaksin Pfizer. Panjang lebar dia baca untuk menakutkan penonton videonya. Ini satu lagi taktik jijik kumpulan antivaksin, iaitu fear mongering.

Ia sikap yang bukan saja tidak objektif, malah tidak bertanggungjawab.

Sudah pasti Pfizer menyenaraikan semua AEFI yang mungkin berlaku. Ini adalah ketelusan matlumat, tidak menyembunyikan matlumat seperti kalangan antivaksin.

Seperti dalam isu jururawat yang pengsan setelah mengambil vaksin Pfizer. Ada yang mendakwa vaksin telah membunuh jururawat itu, sedangkan dia masih hidup dan hanya mengalami “vasovagal response”.

Seperti video jururawat yang ambil vaksin Pfizer dan pingsan. Golongan anti-vaksin meviralkan video mengatakan bahwa vaksin Pfizer telah membunuh jururawat itu. Walhal dia hidup, dan hanya mengalami “vasovagal response”.

Saya boleh nyatakan AEFI ini dengan lebih teliti dan tepat.

AEFI di tempat suntikan bukan perkara luar biasa. Sakit, kemerahan dan bengkak di tempat suntikan adalah biasa. Ia berlaku selepas suntikan dan selalu hilang dalam masa satu hingga dua hari sahaja.

AEFI sistemik juga perkara yang biasa dengan semua suntikan, bukan terkecuali untuk suntikan Pfizer. Sepatutnya seorang doktor seperti Dr Roland memahami kenapa AEFI ini berlaku.

Ia adalah reaksi tabii badan kita yang mengeluarkan cyotkines sebagai mediator inflamasi. Ia merangsang badan kita untuk mengeluarkan antibodi yang bakal melindungi kita daripada virus Covid-19. Ia suatu reaksi yang baik, bukan buruk.

Sumber: Dr Musa Nordin
Sungguh cetek ilmu Dr Roland mengenai vaksinologi. Kedangkalan dan mungkin juga kebodohannya terserlah apabila dia menakutkan penonton videonya dengan AEFI yang minor ini. Doktor-doktor yang tahu konsep vaksinologi sebaliknya akan gembira dan berkata:

“Wow! Sistem imun saya tengan rancak ni (kicking in), ia tengah aktif mengeluarkan antibodi.”

Dan semua kesan ini hilang selepas satu atau dua hari sahaja. Mungkin segelintir kecil mengambil masa yang lama sedikit untuk kembali pada sedia kala.

Lymphadenopathy adalah kebengkakan kelenjar kita. Sudah pasti ini akan berlaku dengan vaksin Pfizer kerana kelenjar adalah tempat di mana antibodi dikeluarkan. Sudah pasti ia mengalami sedikit inflamasi dalam usahanya untuk membuat antibodi yang bakal melindungi kita.

Dr Roland bermain dengan emosi penonton dengan menceritakan tentang Bell’s Palsy. Ia menunjukkan sikap seorang doktor yang kurang beretika dan professional. Golongan antivaksin suka menakutkan pedengar dengan cerita-cerita palsu dan tidak berasaskan fakta. Memang ada empat kes di kalangan subjek yang mengambil vaksin tetapi apabila kita kira kadar (incidence rate) Bell’s Palsy di dalam kumpulan vaksin, ia seperti berikut:

Kadar dasar (baseline) Bell’s palsy dalam masyarakat umum ialah 23-35 bagi setiap 100,000 orang setahun
Kadar Bell’s Palsy dalam ujian klinikal Pfizer Trial ialah sembilan bagi setiap 100,000 orang
Maknanya risiko Bell’s Palsy dalam kumpulan vaksin Pfizer adalah 2.6 – 3.9 lebih rendah daripada masyarakat umum.

Namun demikian pihak regulatori seperti Food and Drug Administration (Amerika Syarikat) dan Medicines and Healthcare products Regulatory Agency (United Kingdom) mengambil maklum mengenai AEFI ini dan meneruskan pemerhatian tentangnya.

Bagi menyakinkan kita bahwa semua AEFI ini kecil sahaja dan tidak bahaya, saya lampirkan rujukan daripada British Medical Journal (BMJ), satu lagi jurnal yang termasyur di UK yang menerbitkan rumusan Medical and Healthcare Regulatory Agency (MHRA-UK) mengenai AEFI vaksin mRNA.

Orang masih makan kacang

Bab terakhir mengenai AEFI ialah yang jarang berlaku, iaitu anaphylaxis. Kadar risiko AEFI bagi vaksin Pfizer adalah 4.6 kes anaphylaxis bagi setiap sejuta dos.

Cuba bandingkan dengan alahan terhadap kacang. Risiko alahan selepas makan kacang ialah 30,000 bagi setiap sejuta Adakah anda akan berhenti makan kacang?

Tetapi Dr Roland tidak mahu ambil vaksin Pfizer walaupun risiko anaphylaxis 10,000 lebih kecil daripada risiko alergi makan kacang. Ini suatu tindakan yang tidak masuk akal langsung.

Saya harap mereka yang menonton video Dr Roland akan menimbang fakta yang saya sediakan dan menilai kembali hujahnya yang tidak langsung berasaskan sains malah lebih bermain dengan emosi dan ketakutan anda. Anda boleh semak rujukan saya.

Bagi mereka yang beragama Islam, saya lampirkan peringatan daripada Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 108, berhubung perlunya sentiasa berdialog dengan hujah dan bukti yang sahih:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata…”

DR MUSA MOHD NORDIN perunding pediatrik dan pengerusi lembaga penasihat Gabungan Persatuan Perubatan Islam Sedunia.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/563833