Sesiapa pun yang tidak kenal Khairulaming, seorang personaliti media sosial yang kerap berkongsi video resipi masakan yang ringkas namun sedap.
Sambal Nyet, hasil ciptaannya, juga cukup popular dan dipuji kerana rasanya yang pedas yang memikat selera.
Walaupun kejayaan jualan Sambal Nyet mencapai 500 botol dalam masa 30 saat dan 10,000 botol dalam masa sejam di Shopee,
Terdapat individu yang mengambil kesempatan untuk menyamar sebagai reseller atau ejen penjualan Sambal Nyet Khairulaming.
Nampaknya, aktiviti ini semakin menjadi-jadi. Khairulaming sekali lagi meluahkan rasa kecewanya apabila individu menyamar sebagai reseller Sambal Nyet di Shopee. Malah, reseller tersebut turut menghasilkan Sambal Nyet palsu dan menjualkannya kepada pelanggan.
Luahan kecewa Khairulaming selepas menerima berita buruk itu dikongsi melalui satu video di Instagram dan untaian cuitan di Twitternya. Dilaporkan, ‘reseller’ yang dikenali sebagai ‘Masturaaliyah’ berjaya menjual sebanyak 700 botol Sambal Nyet palsu kepada pelanggan.
Akibatnya, ada pelanggan yang mengeluh bahawa Sambal Nyet yang dibeli berbau busuk dan berbuih (basi). Beberapa pelanggan menghantar maklum balas rasa kecewa mereka terhadap Sambal Nyet palsu ini kepada Khairulaming menerusi mesej di media sosialnya.
Lihat siaran ini di Instagram
Tidak senang hati mendengar luahan para pelanggannya, Khairulaming terdetik untuk menyiasat botol Sambal Nyet tersebut berserta poskad yang disertakan dalam pembelian sambal tersebut. Setelah diteliti, ternyata label botol dan poskad tersebut ditiru. Textur sambal juga tidak sama dengan Sambal Nyet yang asli.
Dalam pada itu, disebabkan populariti jenama Sambal Nyet Khairulaming, ada peniaga e-dagang di China yang mengambil kesempatan dan menggunakan jenama produk Sambal Nyet by Khairulaming untuk meningkatkan jualan sambal mereka di pasaran Shopee di China.
Berikutan kes ini yang semakin meruncing, Khairulaming merayu dan menasihati orang ramai supaya tidak membeli Sambal Nyet daripada ‘reseller’ di Shopee. Khairulaming turut menjelaskan bahawa isu ini telah dilaporkan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Damansara semalam.
Khairulaming juga memohon maaf sekiranya ada kekurangan dalam cara beliau menguruskan jualan Sambal Nyet kerana sambal yang dijual sering kali tidak mencukupi permintaan pelanggan. Semoga Khairulaming tabah menghadapi dugaan ini dan berharap segala urusan beliau dipermudahkan.
BACA: Wanita ini kongsi resepi sotong celup tepung, petua nak bagi tepung melekat elok