Ramai ibu bapa menghadapi situasi di mana anak kecil kerap menangis sebaik sahaja bangun tidur.
Tangisan ini kadangkala berterusan walaupun sudah cuba dipujuk, menyebabkan tekanan dan mengganggu rutin harian keluarga.
Bagi ibu bapa yang sering mengalami situasi ini, kaunselor laktasi Nas Masrom berkongsi tujuh tip berguna untuk membantu menangani masalah ini:
Dengar dengan Empati
Duduk atau tunduk pada paras mata anak dan beri perhatian sepenuhnya.
Dengarkan apa yang anak cuba sampaikan melalui tangisannya—sama ada kerana rasa tidak puas hati, takut, atau kecewa.
Tenangkan Anak
Gunakan suara lembut dengan kata-kata menenangkan seperti, “Ibu ada di sini.” Pelukan atau sentuhan lembut juga boleh membantu anak merasa lebih selamat.
Kenali Punca Tangisan
Tanya anak secara lembut, seperti, “Apa yang buat adik rasa sedih?” atau “Boleh beritahu ibu/ayah apa yang adik tak suka?” Soalan ini membantu anak mengenal dan menyampaikan emosinya.
Validasi Emosi
Akui perasaan anak tanpa menolak. Contohnya, “Ibu tahu adik marah sebab tak dapat main lagi,” atau “Ibu faham adik sedih sebab kena bangun pagi.” Pengakuan ini menunjukkan bahawa emosi mereka diambil berat.
Alihkan Perhatian dengan Aktiviti Positif
Setelah anak mula tenang, alihkan perhatian mereka kepada aktiviti menyeronokkan seperti bersarapan, memilih pakaian, atau menyanyikan lagu kegemaran.
Bimbing Cara Mengungkapkan Emosi
Ajarkan anak meluahkan perasaan mereka. Contohnya, “Kalau menangis, ibu tak faham. Adik kena cakap apa yang adik tak suka.” Ini membantu mereka mengurus emosi dengan lebih baik pada masa hadapan.
Amalkan Jadual Pagi yang Konsisten
Pastikan rutin pagi anak konsisten dan menyeronokkan, seperti bangun dengan aktiviti yang disukai atau mempunyai masa mencukupi untuk bersiap. Tekanan yang berkurangan pada waktu pagi dapat membantu mengurangkan tangisan anak.
Dengan memahami dan mengamalkan langkah-langkah ini, ibu bapa boleh membantu anak-anak menghadapi emosi mereka dengan lebih baik, menjadikan waktu pagi lebih tenang dan menyeronokkan untuk semua.
BACA:Gempar!!! Yang Di-Pertuan Agong rupanya ada hobi pelik ramai tak sangka