Jiwa dan fikiran aku tidak lagi bersama Pas, satu catatan pengalaman

Jiwa dan fikiran aku tidak lagi bersama Pas, satu catatan pengalaman

Dalam satu posting lalu, aku menulis bahawa aku letak jawatan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) pada 31 Ogos 1994. Aku juga menarik diri sebagai calon pilihanraya di kawasan parlimen Bandar Tun Razak dan bermufarakah dari PAS pada 23 April 1995.‬

‪Ada kekawan tanya:‬

‪“Kenapa Pak Malek letak jawatan?”‬

‪Ada juga kekawan meminta penjelasan:‬

‪“Pohon ceritakan sebab mufaraqah dn tarik diri”‬

‪Soalannya pendek, kena jawab berjela:‬

‪“Peletakan jawatan aku sebagai Ketua DPPWP pada 31 Ogos 1994 itu berlaku dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja.‬

‪Selaku Ketua, aku telah memanggil mesyuarat untuk membincangkan persiapan DPPWP bagi menghadapi pilihanraya umum yang bakal dihadapi.‬

‪Dalam mesyuarat itu, aku bentangkan cadangan agar PAS tidak bertanding di Wilayah Persekutuan dalam pilihanraya umum 1995. ‬

‪Aku nyatakan beberapa alasan:‬

‪PAS tiada kekuatan untuk bertanding menentang BN di KL, berbanding DAP. Dalam perkiraan politik, PAS akan ulangi kelemahan PRU-PRU yang lalu — hilang wang pertaruhan kerana bilangan anggota parti yang amat sedikit dan bilangan cawangan yang juga sedikit. Kerja-kerja politik membela rakyat di Wilayah Persekutuan pun tak seberapa. Hanya mengharap nasib dan simpati umum. Maka, masuk bertanding dengan latar sedemikian adalah kerja yang sia-sia dan membazir.‬

‪PAS telah menyusun strategi pilihanraya di Wilayah Persekutuan dengan hanya tertumpu di kawasan parlimen Lembah Pantai. Hampir seluruh ahli-ahli PAS Wilayah Persekutuan telah dikerah menjadi pemilih di Lembah Pantai. Akan tetapi rakan PAS, iaitu Parti Melayu Semangat 46 bertegas tak berganjak untuk bertanding di Lembah Pantai dan akan meletakkan Tun Salleh Abbas, bekas Ketua Hakim Negara sebagai calon. Lantas, itu menyukarkan PAS dalam rundingan kerusi bagi mendapatkan kerusi Lembah Pantai.‬

‪DPPWP lebih baik membantu gerakerja pilihanraya di Kedah, khususnya di kawasan parlimen yang akan ditandingi oleh Yang Di-Pertua PAS Pusat, Ustaz Fadzil Noor. Tujuannya ialah supaya membolehkan Ustaz Fadzil buat kali pertamanya menjadi Ahli Parlimen setelah gagal sejak tahun 1978.‬

‪Bukan tanpa precedent, DPPWP membantu gerakerja pilihanraya umum di luar KL. Secara strategiknya, DPPWP dikerahkan sepenuhnya membantu di kawasan parlimen Marang pada PRU 1990 hingga memenangkan Haji Abdul Hadi Awang bagi kali pertamanya setelah kalah dua kali berturut-turut di parlimen Marang.‬

‪Aku menyatakan bahawa aku tidak akan menawarkan diri bertanding dalam PRU 1995. Aku pertegaskan pendirian menolak sebarang pencalonan.‬

‪Apabila dibuka untuk perbincangan, majoriti ahli-ahli Jawatankuasa Kerja DPPWP tidak menyokong cadangan agar PAS tidak bertanding di Wilayah Persekutuan dan tidak menyetujui pendirian aku menolak pencalonan.‬

‪Terdapat seorang sahabat karib aku yang menjadi AJK memberi kata dua kepada aku, “Jika Ketua menolak untuk bertanding, saya cadangkan Ketua mesti meletakkan jawatan!”‬

‪Aku bertegas dengan pendirian, dan aku meletakkan jawatan dengan sertamerta sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan di dalam mesyuarat itu.‬

‪Keputusan itu aku susuli seminggu kemudiannya dengan meletakkan jawatan sebagai Pengarah Pilihanraya PAS Wilayah Persekutuan.‬

‪Masa berlalu. Parlimen dibubarkan pada 5 April 1995 dan pilihanraya ditetapkan pada 24-25 April.‬

‪Dalam tempoh pembubaran Parlimen itu, aku didatangi oleh Subky Latif, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, mentor politik dan seorang sahabat aku. ‬

‪Aku kenali rapat Subky Latif sejak dia menjadi calon PAS dalam pilihanraya kecil Parlimen Pelabuhan Kelang pada tahun 1979. Subky yang tarik aku masuk PAS pada 1981 setelah dia lantik aku menjadi Setiausaha PAS Kawasan Setapak.‬

‪Dia berjumpa aku secara private beberapa hari sebelum hari penamaan calon PRU 1995 untuk memujuk aku menjadi calon parlimen dalam pilihanraya. Aku menolaknya dengan alasan politik bahawa sistem pilihanraya Malaysia tidak bebas, tidak adil dan diselubungi dengan politik wang. Aku tidak akan menyertai pilihanraya dalam sistem yang sedemikian rupa.‬

‪Subky cuba juga untuk menyakinkan aku supaya menerima pencalonan. Aku nyatakan, dia pun tahu bahawa aku tak disenangi dalam parti kerana aku sering mengkritik tajam beberapa pimpinan parti yang berpengaruh.‬

‪Aku ungkitkan kembali kepada Subky, betapa pimpinan PAS Pusat gagal dalam banyak isu, contohnya isu kawasan balak Negeri Kelantan yang diagihkan kepada kalangan pimpinan PAS negeri yang aku bidas dalam Muktamar terdahulu kerana terdapat unsur rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan. Malah, Subky yang membantu aku menyediakan ucapan membangkitkan perkara-perkara berkaitan penyelewengan dalam Kerajaan PAS Negeri Kelantan.‬

‪Aku bangkitkan isu, kenapa kemudiannya aku dipecat dari Pejabat Agung PAS Pusat dengan begitu rakus tanpa dinyatakan sebarang alasan, tanpa peluang membela diri dan tanpa peluang merayu. Kenapa sewenang itu tak wujud “natural justice” atau “sense of justice” dalam parti?‬

‪Namun, Subky tetap berkeras mahukan aku bertanding, dan aku bertegas menolaknya.‬

‪Akhirnya, aku minta Subky supaya berikan aku satu alasan yang kukuh kenapa dia mahu sangat aku bertanding.‬

‪Subky menyatakan, dia mahu melihat dalam Dewan Rakyat ada orang yang berani berhujah dan berdebat mendepani Anwar Ibrahim. Katanya, dia tidak nampak sesiapa yang boleh menuding jari ke muka Anwar. Menyimpulkan pendapatnya Subky berkata, “Malek, kamulah orangnya!”‬

‪Untuk tidak bertegang urat dengan Subky lagi, aku serahkan kepadanya membuat keputusan, samada aku patut bertanding ataupun tidak, kerana dia memahami jiwa aku.‬

‪Cara PAS Pusat putuskan kawasan untuk aku bertanding amat pelik. Dilempar ke sana ke mari. Mulanya diminta aku bersiap ke parlimen Lembah Pantai. Tetapi apabila sah Tun Salleh Abbas dinamakan ke situ, aku menerima watikah untuk bertanding di kawasan bermajoriti besar Non-Muslim, iaitu parlimen Segambut, kubu DAP. Kerana sangat tak logik, timbul kegelisahan di kalangan ahli parti. Kemudiannya aku dihubungi oleh Presiden parti Ustaz Fadzil Nor agar menemui dan berunding dengan Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah agar memberi laluan kepada calon PAS di kawasan Bandar Tun Razak.‬

‪Setelah persetujuan dicapai, barulah Pejabat Agung PAS keluarkan watikah yang baru kepada aku untuk bertanding di Bandar Tun Razak. ‬

‪Seperkara yang mengejutkan, hanya terdapat tidak lebih 30 orang ahli PAS dalam parlimen Bandar Tun Razak dengan hampir semuanya pula berdaftar sebagai pemilih di parlimen Lembah Pantai. ‬

‪Hanya ada seorang sahaja ahli PAS yang berdaftar sebagai pengundi di Bandar Tun Razak ketika itu. Ahli PAS yang berkenaan bertugas di Kota Bharu dan turun ke KL semata-mata untuk menandatangani kertas penamaan sebagai pencadang. Kemudian timbul masalah ketiadaan penyokong kertas pencalonan. Terpaksa parti mendapatkan penyokong dari luar parti — iaitu, seorang Ketua Cawangan UMNO dalam Bandar Tun Razak.‬

‪Aku sedar, sebenarnya parti tidak pernah merancang untuk bertanding di Bandar Tun Razak, tetapi aku sengaja dilemparkan oleh kalangan pimpinan parti yang memusuhi aku ke kawasan hitam itu untuk “membunuh karier politik”. Dendam mereka amat menonjol.‬

‪Namun, ada sesuatu yang mereka tidak tahu. Setelah mengalami, mengamati dan menilai parti dan kepimpinannya, aku sudah mempunyai keputusan sendiri — jiwa dan fikiran aku tidak lagi bersama PAS.‬

‪Aku tarik diri sebagai calon dan bermufarakah dari PAS pada 23 April 1995.‬

‪Aku difahamkan, teruk Subky Latif nak menjawabnya kepada pimpinan yang lain akibat tindakan aku, kerana dia yang beriya sangat mahukan aku menjadi calon. Aku juga difahamkan bahawa sebagai veteran, Subky menjawab dengan berkata, “Akhirnya Malek berjaya membalas dendam terhadap parti.” ‬

‪Itu kata Subky Latif, bukan kata aku.‬

‪Aku mohon maaf kerana penjelasan ini terlalu panjang. Namun, aku percaya, kalian semua punyai banyak masa membacanya dalam musim berkurung COVID-19 kini.‬

‪Kesimpulannya, aku tak pernah keluar agama, aku cuma keluar dari sebuah parti politik yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia yang masih bernama PAS.”

Sumber:‬