Bantuan JKM lambat, ahli parlimen PH beli dan agih bantuan sendiri

Bantuan JKM lambat, ahli parlimen PH beli dan agih bantuan sendiri

Gambar ini menunjukkan mantan Timbalan Menteri KPDNHEP merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Pengerusi DAP Sarawak dan Ahli Parlimen Stampin YB Chong Chieng Jen turun padang untuk membantu memunggah bantuan makanan untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan Parlimen Bandar Kuching dan Parlimen Stampin.

Apabila Menteri Pertahanan tempoh hari mengumumkan bahawa pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik tidak dibenarkan untuk mengedarkan bantuan makanan dan menyarankan agar sebarang bantuan disalurkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tanpa melengahkan masa, pihak DAP Sarawak bertindak pantas dengan mengumpul penerima yang layak.

Sebanyak beribu nama penerima sekitar Parlimen Bandar Kuching dan Parlimen Stampin telah dihantarkan kepada JKM sejak lima hari yang lalu namun sehingga kini, seorang belum ada seorang pun penerima yang menerima sebarang bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan.

Antara nama penerima yang dihantar kepada pihak JKM adalah dari kawasan DUN Demak Laut, DUN Tupong, DUN Satok, DUN Padungan, DUN Pending, DUN Batu Lintang, DUN Kota Sentosa, DUN Batu Kitang, DUN Batu Kawah, DUN Stakan dan DUN Mambong.

Walaupun Peruntukan Khas untuk Ahli Parlimen Bandar Kuching ditarik balik oleh kerajaan Pusat, tetapi ‘hukuman’ ini tidak menghalang pihak DAP Sarawak untuk meneruskan bantuan kepada pihak hospital dan rakyat Sarawak.

Oleh itu, DAP Sarawak telah mengambil inisiatif untuk menggunakan dana parti sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan Pusat untuk membeli barangan keperluan dapur supaya dapat diagihkan kepada beberapa buah keluarga di kawasan Parlimen Bandar Kuching dan Parlimen Stampin.

Tindakan lebih pantas DAP Sarawak ini telah menimbulkan banyak persoalan. Kenapa JKM mengambil masa yang begitu lama untuk meluluskan bantuan makanan? Berapa lama sebenarnya yang diperlukan oleh JKM untuk meluluskan permohonan bantuan makanan? Apakah kawasan yang diwakil oleh DAP Sarawak telah dianaktirikan? Adakah JKM menunggu arahan daripada pihak tertentu? Adakah terdapat’tangan ghaib’ yang cuba mensabotaj usaha DAP Sarawak?

Adakah JKM sedang menanti pelekat (“sticker”) muka pemimpin GPS dan logo GPS dicetak terlebih dahulu sebelum ditampal dan diedarkan kepada penerima? Tidakkah pihak JKM sedar bahawa sementara penerima menanti bantuan makanan untuk diagihkan, mereka sedang kelaparan disebabkan oleh kehabisan bekalan makanan? Dapur rumah sudah tidak ada susu tepung untuk diberikan kepada anak kecil dan beras untuk dimakan oleh satu keluarga sudah habis?

Memahami situasi yang tidak adil ini, pihak DAP Sarawak bersama-sama dengan wakil persatuan masyarakat akan mengedarkan bantuan makanan ini kepada penerima di kawasan masing-masing. Bantuan ini akan diagihkan tanpa mengira bangsa,agama mahupun fahaman politik. Dan yang paling penting, bantuan makanan ini diagihkan secara ikhlas tanpa meletakkan pelekat muka YB mahupun logo parti.

Ada pihak tidak merasa senang dengan tindakan pantas yang dilakukan oleh DAP Sarawak. Ada yang mengambil langkah tunggu dan lihat tindakan DAP Sarawak untuk menghantar nama penerima yang layak. Kemudian, mereka akan mencari jalan dengan meletakkan pelekat gambar pemimpin mereka dan disertakan dengan logo parti sekolah-olah bantuan ini hasil daripada usaha mereka biarpun sebenarnya hasil dari duit pembayar cukai.

Rakyat enggan menunggu gambar pemimpin parti politik atau logo cap serati ditampal pada bantuan makanan mereka. Apa yang rakyat mahukan adalah untuk pihak JKM segera bertindak untuk mengagihkan bantuan makanan mengikut nama yang telah diserahkan oleh pihak DAP Sarawak lima hari yang lalu.

Dalam keadaan negara dilanda wabak Covid-19 dan rakyat terhimpit akibat Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), pihak kerajaan Pusat dan negeri harus berhenti bermain politik. Adalah dinasihatkan agar pihak JKM juga berhenti mengikut telunjuk parti politik. JKM harus bertindak lebih efisien, efektif dan profesional tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik kerana jabatan ini amat penting sebagai pengantara kepada rakyat.

Kalau JKM enggan meluluskan ribuan nama yang dihantar dan gagal mengedarkan bantuan makanan kepada penerima, adalah dinasihatkan agar pihak kerajaan Pusat membenarkan NGO dan parti politik untuk mengambilalih tanggungjawab ini. Hal ini adalah untuk memastikan agar bantuan dapat disampaikan kepada penerima tanpa melayan karenah birokrasi pihak JKM yang tidak ada kesudahannya.

Pihak DAP Cawangan Batu Kitang akan membantu mengagihkan bantuan makanan yang ditempah oleh DAP Sarawak kepada nama penerima sekitar DUN Batu Kitang secara berperingkat.