Johor negeri pertama tawar gaji premium bermula RM4,000-RM5,000 ini jawatannya

Oleh ISMAIL YAHYA

Johor bakal menjadi negeri pertama yang menawarkan gaji premium

Bermula dari RM4,000 dan RM5,000, titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Menurut baginda, gaji tersebut bakal ditawarkan kepada pekerja berkemahiran tinggi

menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilancarkan pada Ahad lalu.

Tunku Mahkota Ismail bertitah sedemikian menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) milik baginda, HRH Crown Prince of Johor.

Johor negeri pertama tawar gaji premium bermula RM4,000-RM5,000 ini jawatannya

Titah baginda lagi, pelbagai projek baharu di negeri berkenaan dijangka bakal mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor dalam beberapa tahun akan datang.

“Kerajaan Negeri Johor menerusi Johor Plantations Group Berhad (JPG) berjaya memeterai kerjasama dengan syarikat Jepun, Fuji Oil Asia Pte Ltd untuk membina kilang penapisan minyak sawit serta lemak khusus di negeri ini.

“Kerjasama ini membabitkan nilai pembangunan awal berjumlah RM500 juta. Kerajaan Negeri Johor turut bertemu dengan 83 syarikat terkemuka di Korea Selatan untuk mempromosikan inisiatif penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Projek ini bakal membawa pelaburan strategik bernilai kira-kira AS$190 juta ke negeri ini. Projek-projek baharu ini dijangka akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor dalam beberapa tahun yang akan datang,” titah baginda dalam hantaran tersebut.

Dalam hantaran yang sama, Tunku Mahkota Ismail turut bertitah bahawa Istana Besar Johor dan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan akan dinaik taraf di dalam masa terdekat untuk dibuka kepada umum.

“Kerja naik taraf akan dilakukan sebelum dua lokasi itu dibuka kepada umum sebagai usaha menambah nilai pelancongan di negeri ini. Kedua-dua Bangunan Sultan Ibrahim dan Istana Besar Johor mempunyai pelbagai sejarah Johor sejak abad ke-19.” Titah baginda lagi.

Baca juga: Nak transfer duit ke akaun tabung haji, tapi risau kena caj ‘singgit’? Ikut je cara ni