Meskipun dirinya sudah menjadi jutawan dan kaya-raya, namun lelaki pelombong ini tidak lupa diri.
Saniniu Kuryan Laizer, seorang pelombong dari Tanzania, mencapai kekayaan sekelip mata apabila menemui batu permata paling berat di dunia.
Laizer yang gigih bekerja di kawasan utara Bukit Mirerani untuk mencari hasil mineral, membuat kejutan dengan penemuan batu permata Tanzanite seberat 9.27 kilogram (kg) dan 5.1kg.
Batu permata langka berwarna ungu kebiruan itu bernilai lebih daripada RM13.8 juta dan berjaya dijual semula kepada kerajaan.
Namun, Laizer tidak mahu meraih kejayaan itu sendirian dan berjanji untuk berkongsi keberkatannya dengan membina sebuah sekolah dan pasar raya untuk penduduk tempatan.
Walaupun sudah 12 bulan berlalu, kisahnya masih menarik perhatian apabila Laizer menunaikan janjinya dengan membina sebuah sekolah rendah yang telah siap dibina di perkampungan Naepo, Simanjiro.
Sejumlah RM839,002 telah diperuntukkan untuk pembinaan sekolah ini, yang dilengkapi dengan enam bilik darjah, bilik pejabat pentadbiran termasuk bilik guru besar, bilik penolong guru besar, dan bilik mesyuarat.
Sekitar 150 murid Tahap Satu akan mendaftar di sekolah ini dan akan diserahkan kepada kerajaan untuk melantik guru yang berkelayakan.
Laizer juga bercadang untuk berkerjasama dengan kerajaan untuk menambah beberapa bangunan di sekolah tersebut bagi menampung lebih ramai murid.
“Jika mungkin, saya ingin sekolah ini menjadi sekolah Bahasa Inggeris dan saya berharap untuk membina asrama bagi murid yang memerlukan,” katanya.
Kini, batu permata Tanzanite itu disimpan di muzium negara, dan kisah kebaikan hati Laizer adalah satu contoh yang patut dijadikan teladan.
BACA: Syarikat penerbangan mula perkenal timbang berat penumpang, terlebih berat akan di caj?