Kadar pengangguran di negara ini pada suku keempat 2019 menurun kepada 3.2 peratus berbanding 3.3 peratus pada suku ketiga.
Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi Laporan Survei Tenaga Buruh, Malaysia, Suku Keempat 2019, berkata tenaga buruh dan penduduk bekerja di Malaysia masing-masing mencatatkan pertumbuhan 2.1 peratus dan 2.2 peratus kepada 15.77 juta orang dan 15.25 juta orang berbanding suku keempat 2018.
“Perbandingan suku tahun ke suku tahun pula menunjukkan tenaga buruh dan penduduk bekerja masing-masing meningkat 0.6 peratus berbanding suku tahun sebelumnya.
“Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) naik 0.2 mata peratus kepada 69.1 peratus berbanding suku ketiga 2019,” kata jabatan itu.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pada suku keempat 2019, penduduk bekerja kategori separuh mahir mendominasi pasaran buruh dengan 59.0 peratus diikuti dengan kategori mahir 27.6 peratus dan berkemahiran rendah 13.4 peratus.
“Pada suku keempat 2019, KPTB perempuan mencatatkan kenaikan 0.1 mata peratus kepada 56.1 peratus berbanding suku tahun sebelumnya.
“KPTB perempuan tertinggi dalam pasaran buruh adalah kumpulan umur 25 hingga 34 tahun (75.6 peratus) diikuti 35 hingga 44 tahun (67.1 peratus) dan 45 hingga 54 tahun (58.7 peratus).
“KPTB lelaki pula meningkat 0.2 mata peratus kepada 81.1 peratus berbanding suku tahun sebelumnya. Kumpulan umur yang mencatatkan KPTB lelaki tertinggi adalah 35 hingga 44 tahun (97.9 peratus) diikuti 25 hingga 34 tahun (96.8 peratus) dan 45 hingga 54 tahun (94.8 peratus),” katanya.
Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan pada suku keempat 2019, bilangan penduduk bekerja yang berpendidikan tertiari meningkat 3.5 peratus kepada 4,430.2 ribu berbanding 4,281.6 ribu pada suku keempat 2018.