Menurut kajian yang dijalankan tidak lama dahulu, kira-kira 8.3 billion penyedut minuman atau straw ditemui
mencemari pantai-pantai seluruh dunia dan ia menyumbang hanya 0.025 peratus daripada 8 juta tan plastik dilepaskan ke laut.
Disebabkan ini, banyak syarikat-syarikat kini berubah kepada bahan yang lebih mesra alam sekitar dan salah satu yang terkenal dan digunakan adalah penyedut minuman kertas.
Pun begitu, penggunaan produk ‘mesra alam’ yang diperbuat daripada kertas ini didakwa mempunyai bahan kimia yang tahan lama dan berpotensi menjadi toksik dan para pengkaji telah melaungkan amaran tentang bahaya penggunaan bahan berkenaan.
Para penyelidik dari Belgium baru-baru ini mendedahkan 18 daripada 20 jenama penyedut kertas berpotensi memberikan bahaya kepada manusia, hidupan liar dan alam sekitar kerana mempunyai “bahan kimia selama-lamanya”.
Menurut analisis yang pertama diadakan di Eropah ini, para pengkaji telah melakukan ujian ke atas 39 jenama penyedut minuman untuk mengesan bahan kimia sintetik yang dikenali sebagai poli dan perfluoroakyl (PFAS).
PFAS menurut mereka ditemukan dalam majoriti penyedut minuman yang dijadikan bahan uji kaji dan ia adalah kebiasaan dalam produk yang diperbuat daripada kertas dan buluh.
Tambah Thimo Groffen, saintis alam sekitar di Universiti Antwerp berkata, pasukan penyelidik berkenaan ingin mengetahui sama ada PFAS berada dalam penyedut minuman berasaskan tumbuhan yang dijual di Belgium, selepas ia ditemui dalam penyedut minuman yang dijual di AS.
Bercerita tentang ujian yang dijalankan, pasukan berkenaan membeli 39 jenama penyedut minuman yang diperbuat daripada 5 bahan iaitu kertas, buluh, kaca, keluli tahan karat dan plastik yang dijual di pasar raya, restoran makanan segera dan restoran sebelum diuji.
Tambah mereka lagi, majoriti daripada jenama berkenaan mempunyai PFAS dengan 18 jenis PFAS ditemui secara keseluruhan dan ianya paling banyak ditemui pada penyedut minuman kertas.
PFAS juga dikesan pada jenama penyedut buluh, plastik dan juga kaca namun tidak langsung dikesan pada penyedut minuman yang diperbuat daripada keluli tahan karat.
Menurut mereka, kemungkinan besar kehadiran bahan kimia tersebut pada setiap jenama penyedut kertas kerana ia sering digunakan sebagai salutan kalis air.
Namun, kajian berkenaan tidak mengkaji sama ada PFAS berkenaan akan bercampur dengan minuman dan sebagainya dan menurut mereka, kepekatan PFAS tersebut adalah rendah selain orang ramai cenderung menggunakan penyedut minuman sekali-sekala.
Disebabkan ini, ia sebenarnya tidak menimbulkan risiko kepada kesihatan manusia tetapi ia boleh berada dalam badan manusia untuk tempoh yang lama dan kepekatan ini boleh bertambah dari waktu ke waktu.
PFAS digunakan untuk membuat produk harian, daripada pakaian luar hingga kuali tidak melekat, tahan air, haba dan kotoran. Ia terurai dengan sangat perlahan dari semasa ke semasa dan boleh bertahan selama beribu-ribu tahun dalam alam sekitar, satu sifat yang telah menyebabkan mereka dikenali sebagai “bahan kimia selama-lamanya”.
PFAS ini telah dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan, termasuk tindak balas yang lebih rendah terhadap vaksin, berat lahir yang lebih rendah, penyakit tiroid, peningkatan paras kolesterol, kerosakan hati, kanser buah pinggang dan kanser testis.