Biasanya, apabila terlalu menyayangi seseorang tetapi tiada jodoh, kita sentiasa mendoakan kebahagiaan bekas kekasih bersama pasangan baharu mereka.
Namun, bagaimana jika bekas kekasih itu mengahwini insan terdekat, seperti adik-beradik sendiri?
Situasi ini menjadi dilema bagi seorang wanita yang kini berkahwin dengan bekas kekasih kakaknya.
“Aku berkahwin dengan bekas kekasih kakak kerana mereka kata hubungan mereka hanyalah cinta monyet semasa sekolah rendah, sekadar main-main tanpa perasaan serius.
“Suamiku dan kakakku sebaya, 34 tahun, manakala aku berumur 30.
Perkahwinan kami diatur keluarga kerana kedua-dua kami sudah lanjut usia.
“Aku tidak terdesak untuk berkahwin, tetapi melakukannya atas permintaan ibu. Kami bernikah awal tahun lalu, dan empat bulan kemudian aku hamil. Suami melayan aku dengan sangat baik, termasuk sepanjang aku mengandung dan melahirkan anak,” katanya memulakan kisahnya.
Namun, kebahagiaan itu mula terganggu apabila rumah kakaknya dilanda banjir, memaksa kakaknya tinggal bersama mereka. Pada waktu itu, kakaknya juga sedang berpantang selepas melahirkan anak.
“Suami tanpa berbincang terus memberikan bilik bawah kepada kakak. Dia memindahkan barang-barang di bilik itu ke bilik kecil, walhal semasa aku dalam pantang, aku tinggal di bilik kecil tersebut.
“Dia beri alasan bahawa abang ipar atau anak-anak kakak mungkin mahu tidur bersama. Aku cuba faham, tetapi lama-kelamaan, dia mula memberikan pelbagai barang kepada kakak tanpa berbincang,” luahnya di media sosial.
Antara barangan yang diberikan termasuk mesin bunyi white noise, produk bayi Nuna Leaf, bantal menyusu, katil bayi, kain batik, dan lain-lain.
“Puncak kemarahanku ialah apabila dia memberikan baju hadiah dari kawanku untuk anak kami kepada anak kakak. Baju itu sepatutnya untuk bayi berusia dua tahun, sedangkan anak kami belum boleh memakainya.
“Nasib aku sedar. Aku keluarkan semua baju dalam almari anak dan baling kepada suami, suruh dia berikan semuanya. Aku menjerit kerana terlalu sakit hati. Dia cuba memujuk dan meminta maaf, kemudian memberitahuku bahawa kakak mahu pulang kerana banjir sudah surut,” jelasnya.
Namun, kemarahannya memuncak apabila suami memintanya memohon maaf kepada kakaknya kerana mengganggu emosinya.
“Aku baling cawan ke arahnya hingga dahinya bengkak. Aku serang kakak, menuduh dia tidak tahu menjaga batas. Aku hubungi abang ipar, meminta dia segera membawa kakak keluar dari rumahku.
“Abang ipar datang, dan aku meminta maaf. Aku akui kakak tidak sepenuhnya salah, tetapi suami yang berlebihan. Abang ipar juga bersetuju kakak bersalah kerana sering mengadu, menyebabkan dia sendiri tidak selesa dengan pemberian suami,” katanya lagi.
Selepas kakaknya keluar dari rumah, wanita itu merasa lebih lega tetapi masih tidak tenang. Dia mula memasang alat pengesan pada kereta, motor, beg duit, dan kunci rumah.
“Kakak bertanya sama ada dia penyebab pergaduhan kami, dan suami mengakui ya. Suami juga mencadangkan kami berjumpa kaunselor perkahwinan, tetapi aku takut mengetahui perkara yang tidak ingin aku tahu.
“Aku mula tertanya-tanya, adakah dia benar-benar mencintaiku atau hanya menerima aku kerana anak kami? Aku tidak tahu apa yang akan terjadi seterusnya,” katanya mengakhiri perkongsian tersebut.