Seorang bekas pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mendedahkan terpaksa membuat laporan polis
selepas mendakwa adiknya yang berusia sembilan dan tujuh tahun diajar untuk meliwat.
Wanita itu yang enggan dikenali mendakwa, adiknya turut menjadi ketagih untuk melakukan perkara terkeji itu
kerana pernah menjadi mangsa liwat penjaga asrama rumah kebajikan di bawah naungan GISBH itu sejak tahun 2021.
Menurut wanita berkenaan disebabkan isu itu, ibu dan adiknya dikenakan tindakan kuarantin oleh organisasi itu di Melaka.
“Bila disiasat rupa-rupanya adik saya mengaku ketagih untuk melakukan perbuatan itu namun saya tidak dibenarkan membawa kedua-duanya keluar dari asrama terbabit.
“Saya juga tak dibenarkan bawa adik ke hospital untuk dapatkan rawatan psikiatri malah adik saya dipukul dan didera sedangkan yang mengajar perkara tak elok itu ialah penjaga asrama rumah kebajikan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam podcast pendakwah bebas, Ustaz Syihabudin Ahmad yang disiarkan di TikToknya baru-baru ini.
Jelas wanita itu, dia turut diugut sepanjang masa melalui panggilan telefon dan mesej supaya menarik balik laporan polis yang telah dibuat.
“Mereka ugut saya macam-macam, sampai sabotaj perniagaan saya, tularkan kononnya saya dengki dan berniat jahat terhadap GISBH,” ujarnya.
Tambahnya lagi, paling tidak dapat diterima ialah adik dan ibunya dikurung dan dipulaukan oleh kumpulan itu kerana didakwa telah melakukan kesalahan besar.
Ujarnya, kedua-dua adiknya turut didera dengan cara ditekap dengan sudu panas hingga meninggalkan kesan kecederaan pada tubuhnya.
“Saya akui ibu memang terlalu taksub dengan mereka, tetapi saya ingin selamatkan adik-adik saya kerana mereka tidak boleh terus dikuarantin. Sebaliknya, mereka perlu mendapat rawatan psikiatri dan pemeriksaan doktor.
“Mereka memang zalim dan berperangai seperti binatang kerana sanggup melakukan perkara seperti itu terhadap kanak-kanak,” katanya.
BACA: Guru qasidah didakwa ajar dua pelajar buat amang seksual