‘Kalau tunggu dalam kereta mungkin saya dah mati’

Oleh ISMAIL YAHYA

“Mujurlah ketika tayar kereta pancit, saya memilih untuk menunggu di tepi lebuh raya di bawah panas terik matahari.

Jika tidak, mungkin saya sudah mati,” kata Tan Hong Ta, 36, pemandu kereta mewah jenis BMW Z4 yang musnah terbakar

Bersama sebuah lori tangki dalam kemalangan di Kilometer 199.7 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Ayer Keroh, Melaka, petang tadi.

Berkongsi detik sebelum kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, Tan berkata dia dalam perjalanan ke Kuala Lumpur apabila tayar keretanya pancit di lokasi nahas.

“Sebaik keluar dari kereta, saya segera menghubungi perkhidmatan trak tunda dan memilih untuk menunggu di tepi lebuh raya hampir dua jam.

'Kalau tunggu dalam kereta mungkin saya dah mati'

Saya sedar risiko berada dalam kereta sekiranya dilanggar kenderaan lain,” katanya.

Keputusan tersebut ternyata menyelamatkan nyawanya apabila sebuah treler merempuh lori tangki minyak masak berhampiran lokasi keretanya yang menyebabkan kedua-duanya terbakar.

“Saya tidak sangka firasat saya tepat. Sebaik trak tunda tiba, tiba-tiba sebuah treler melanggar lori tangki minyak masak, dan kebakaran berlaku tepat di sebelah kereta saya.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus lari sejauh 100 meter di tepi lebuh raya sambil terdengar beberapa kali letupan dari lori tangki tersebut,” katanya.

Tan, yang bekerja sebagai pengurus sebuah kilang di Johor, bersyukur kerana membuat keputusan bijak dengan tidak berada di dalam kereta, meskipun dia mengalami kerugian harta benda.

Sementara itu, laporan terdahulu menyebut seorang pemandu lori tangki minyak sawit melecur 40 peratus dalam kejadian tersebut, yang turut menyebabkan kesesakan lebih lima kilometer selepas lorong kiri dan tengah lebuh raya ditutup sepenuhnya.

Gambar-gambar dan video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran melibatkan lori tangki dan kereta mewah tersebut.

BACA: