Kantoi ingkar PKP, Menteri padam posting twitter

Kantoi ingkar PKP, Menteri padam posting twitter

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed didapati memadam gambar dan tulisan di media sosialnya berkenaan lawatan bertemu penduduk dan warga tua di kawasan diwakilinya.

Mustapa semalam dikesan memuatkan gambar menunjukkan beliau menziarahi beberapa rumah penduduk sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasannya di Jeli.

“Alhamdulillah, hari ini sempat balik Jeli jenguk anak buah. Sudah tiga minggu tidak balik,” kenyataan  bersama gambar di akaun @TokPa_Comms itu dipetik.

Kandungan menunjukkan Mustapa duduk di kerusi pada jarak dekat dengan beberapa individu itu bagaimanapun didapati sudah dipadam pada hari ini.

Seorang pegawai Mustapa mengesahkan menteri tersebut mengunjungi rumah penduduk berkenaan namun menjelaskan ia hanya bertujuan untuk menyemak sekiranya bantuan sudah diterima.

Pegawai itu juga berkata Mustapa yang digelar Tok Pa akan membuat pertemuan berkenaan pegawai berkaitan untuk agihan bantuan.

“Tok Pa ada di Jeli hari ini dan akan ada mesyuarat, ini bukan ziarah, beliau nak dapatkan maklum balas sebab ada bagi bantuan sebelum ini. Beliau nak pastikan bantuan yang diberikan sampai kepada penerima.

“Beliau balik pun sebab hari ini ada mesyuarat dengan pegawai daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bekenaan  pengagihan bantuan,” katanya.

Katanya, kebanyakan penduduk di Jeli yang bekerja sebagai petani banyak terjejas sewaktu PKP.

Sepanjang tempoh itu, rakyat dilarang berhimpun dan kunjung mengunjung terutama ke atas golongan warga tua untuk mengelak jangkitan Covid-19.

PKP bermula 18 Mac lalu dan berlanjutan sehingga tiga fasa dan dijadual berakhir 28 April depan.

Sepanjang tempoh itu, rakyat juga diarahkan berada di rumah masing-masing, menjaga kebersihan dan hanya keluar jika perlu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Jeli merupakan salah satu kawasan dalam zon kuning di Kelantan dengan dua kes dicatatkan setakat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam menyarankan agar kawalan diperketat untuk PKP peringkat ketiga bagi mengawal jangkitan itu.

Katanya, langkah itu perlu dibuat walaupun sudah terdapat tanda jumlah kes jangkitan baharu semakin menurun.

Sumber : https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/236975