Kantoi !!! MP dedah manipulasi angka kes Covid-19, berkurang kerana bilangan ujian dikurangkan secara drastik

Kantoi !!! MP dedah manipulasi angka kes Covid-19, berkurang kerana bilangan ujian dikurangkan secara drastik

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Chang Lih Kang, mengecam kerajaan Perikatan Nasional kerana cuba manipulasi angka Covid-19 untuk memberi gambaran yang kurang tepat kepada Rakyat jelata. Beberapa hari yang lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, gelombang ketiga Covid-19 telah menurun dan terkawal. Beliau berpendapat bahawa penurunan jumlah kes positif merupakan kejayaan pelaksanaan darurat dan PKP.

Hakikatnya, jumlah kes positif Covid-19 baru menurun bukan kerana pandemik sudah terkawal, tetapi jumlah ujian Covid-19 (individu disampel) yang menurun dengan drastik.

Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr. Noor Hisham maklumkan dalam sidang media pada 4hb Februari, bahawa keupayaan makmal awam dan swasta menjalankan saringan Covid-19 adalah sebanyak 76,805 ujian sehari. Namun, jumlah ujian yang dijalankan atas individu makin hari makin berkurangan.

Pada 3hb hingga 5hb Februari, jumlah saringan harian yang dijalankan melebihi 60 ribu ujian masing-masing. Pada 8hb Februari, jumlah saringan telah dikurangkan secara drastik kepada 32,536 ujian. Pada hari ini (15hb), jumlah saringan individu dikurangkan lagi kepada angka yang antara paling rendah, iaitu sebanyak 23,791 sahaja. Justeru, penurunan jumlah kes positif adalah diakibatkan oleh jumlah saringan yang semakin kecil, bukan kerana pandemik sudah terkawal.

Menurut piawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia, pandemik Covid-19 dianggap terkawal kalau kadar positif daripada jumlah saringan adalah kurang daripada 5%. Sekiranya kadar positif melebihi 10%, maka pandemik dikategori sebagai di luar kawalan. Dalam 3 hari yang lepas, kadar positif kita berlegar di sekitar 10%, iaitu 11.94% pada 13hb Februari, 10.15% pada 14hb Februari, serta 9.15% pada 15hb Februari.

Angka-angka ini menunjukkan bahawa pandemik Covid-19 di negara kita jauh daripada terkawal. Sejak wabak ini dikesani di negara kita, 975 nyawa telah diragut, dan kita belum nampak di mana kesudahannya. Namun, Menteri Kesihatan sanggup memberi gambaran yang memesong demi kepentingan politik sendiri.

Maka, Lih Kang mendesak Perikatan Nasional hentikan mainan politik seperti ini untuk menipu Rakyat. Kerajaan harus memastikan Menteri dan kedua-dua timbalan menteri Kesihatan letak jawatan atas kekhilafan ini dan kementerian yang lain tidak akan mengulangi perbuatan ini.