Kartel daging : Rujuk senarai kilang halal yang dikeluarkan oleh Jakim – Menteri

Kartel daging : Rujuk senarai kilang halal yang dikeluarkan oleh Jakim – Menteri

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan sentiasa memberi perhatian dalam menangani isu kartel daging haram di negara ini.

Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya juga akan mengemas kini isu itu selain memeriksa bagaimana syarikat terbabit mendapat kelulusan.

“Saya lihat, dalam isu ini, kita perlu memandangnya dengan dua sudut berbeza iaitu pertama adalah daripada segi undang-undang yang mana mereka yang sudah menyalahi undang-undang perlu dibetulkan semula.

“Manakala isu kedua, ada perkara yang tidak perlu kepada halal Jakim. Contoh, apabila membabitkan sembelihan korban kita tidak perlu dapatkan pengesahan Jakim.

“Bagaimanapun, jika membabitkan jumlah sumber daging yang banyak seperti di hotel dan sebagainya, kita memang suruh ambil halal Jakim bagi menghilangkan kekeliruan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program penyampaian sumbangan barangan makanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini, hari ini.

Ditanya bagaimana kerajaan dapat memberi jaminan kepada orang ramai mengenai daging import yang halal, Zulkifli berkata, orang ramai boleh merujuk senarai kilang halal yang dikeluarkan oleh Jakim.

“Bukan semua produk import itu tidak halal, malah ada yang sudah dikenal pasti mematuhi pensijilan halal ditetapkan.

“Orang ramai boleh merujuk senarai abatoir dan loji pemprosesan luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia menerusi laman www.dvs.gov.my,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Kartel ini membungkus semula daging itu menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh negara.

Kegiatan itu terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor pada 1 Disember lalu yang diketuai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor bersama agensi penguat kuasa lain.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/657200/jakim-akan-tangani-isu-kartel-daging