Kartel daging : SPRM perlu siasat semua termasuk agensi agama – Mujahid

Kartel daging : SPRM perlu siasat semua termasuk agensi agama – Mujahid

Konvensyen Nasional 2020 Parti Amanah Negara (Amanah) menuntut pihak berwajib khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat agensi-agensi yang terlibat dalam isu kartel daging.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, antara agensi terlibat termasuklah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Kementerian Pertanian dan Makanan (MAFI).

Beliau berkata, kerajaan perlu menimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan segera mendedahkan siapakah kartel dan rangkaian yang terlibat.

“Kartel ini menimbulkan masalah yang lebih teruk iaitu rasuah, habuan tertentu dan juga salahguna label halal.

“Kesangsian label halal turut mendedahkan isu kartel daging yang menguasai pasaran sejak sekian lama,” katanya pada Konvensyen yang berlangsung di Melaka pada Ahad.

Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, ia penting bagi memelihara tuntutan syariat ‘Halalan Tayyiban’ dan kualiti serta integriti label halal Jakim yang diiktiraf dunia.

“Ini juga penting bagi memastikan isu keselamatan pelabuhan masuk negara tidak dikompromi,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian ini mendedahkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula dengan label serta cap palsu dan menjualnya dalam pasaran negara ini.

Perkara itu dibongkar oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang mengenal pasti tiga jenama popular produk daging sejuk beku keluaran Australia yang diproses di sebuah kilang sejuk beku di Senai, Johor.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/116509/BERITA/Nasional/Kartel-daging-Amanah-gesa-SPRM-siasat-agensi-terlibat