“Saya mohon ribuan ampun dan maaf sekiranya dalam kerjaya seni saya pernah menyinggung perasaan sesiapa, dan saya maafkan semuanya.
Mana tahu mungkin ada yang pernah mengata atau mengutuk saya ketika melihat saya di televisyen,
” kata pelawak dan pelakon Ebby Yus, yang baru sahaja menjalani pembedahan memasukkan tiub akibat komplikasi buah pinggang.
Sentiasa bersedia menghadapi apa jua kemungkinan, pelakon berusia 59 tahun ini mengakui bahawa keadaan kesihatannya kini semakin merosot.
Dalam pesanan buat rakan-rakan artis, Ebby Yus menambah, tidak semua penonton akan senang dengan gaya lawak dan perwatakan yang dibawanya.
“Kepada rakan-rakan artis yang masih sihat, teruskan perjuangan. Saya minta maaf kalau sepanjang kita bekerja ada perkara yang membuatkan anda tidak senang dengan cara saya. Maafkanlah saya.
“Untuk rakan artis, kita perlu usaha kikis persepsi negatif masyarakat tentang artis. Jangan beri ruang untuk orang luar mengutuk atau memfitnah kita. Bila berhadapan dengan netizen, tutuplah segala aib kita.
“Jangan dedahkan kelemahan kita, terutamanya bila berurusan dengan wartawan. Simpanlah aib masing-masing,” katanya dalam nada sugul.
Ebby juga berkongsi bahawa buat masa ini, dia perlu menjalani rawatan dialisis darah sementara sebelum beralih kepada dialisis air di rumah, seperti disarankan oleh doktor pakar.
Ebby, atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, tidak dapat meneruskan dialisis darah melalui leher kerana masalah jantungnya yang semakin lemah.
“Seperti yang saya katakan, saya sudah bersedia untuk apa saja yang bakal berlaku.
“Doakanlah untuk saya. Sekarang ini saya hanya perlukan doa daripada semua,” ujarnya.
Ebby, yang sebelum ini telah berdepan dengan masalah jantung dan buah pinggang, mengakui dia perlukan rehat seketika dan tidak boleh lagi terlalu aktif bekerja kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.