Kebakaran sekolah tahfiz pada tahun 2017 jadi punca negeri Selangor buat pemutihan sekolah agama
KINI hangat di media sosial mengatakan kononnya kerajaan Selangor akan menutup sekolah-sekolah agama di seluruh negeri itu.
Ia susulan dakwaan kira-kira 200 sekolah agama di Selangor telah mendapat surat amaran untuk keluar dari premis perniagaan.
Pengerusi Sekretariat NGO Islam Selangor, Datuk Nazilah Idris menerusi satu sidang media pada 14 Ogos lalu mendakwa, keadaan membimbangkan itu didakwa berlaku setelah Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diterajui oleh menteri daripada parti DAP.
Katanya, sekiranya tiada tindakan tegas diambil, keadaan itu boleh memudaratkan agama Islam dan bangsa Melayu sendiri.
Apatah lagi, dianggarkan kira-kira 40,000 pelajar Islam di Selangor bakal dinafikan hak sekiranya sekolah mereka terpaksa ditutup.
Bagaimana polemik sekolah tahfiz bermula ?
Api kebakaran bermula di tingkat dua dan teratas bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
Polemik sekolah tahfiz bermula susulan insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur pada enam tahun lalu.
Dalam insiden yang berlaku pada 14 September 2017 melibatkan madrasah tahfiz lelaki itu, seramai 23 penghuni terdiri daripada 21 pelajar dan dua tenaga pengajar terbunuh, manakala lima penghuni lagi dilaporkan tercedera.
Difahamkan api kebakaran bermula di tingkat dua dan teratas bangunan madrasah tersebut, sebelum api itu merebak dengan cepat ke seluruh bangunan sehingga menghalang satu-satunya pintu masuk dan menyebabkan penghuni madrasah tersebut terperangkap sehingga mereka tidak dapat menyelamatkan diri.
Lebih menyulitkan keadaan, tingkap-tingkap di bangunan tersebut dipasang dengan jeriji-jeriji hingga menyukarkan kebanyakan penghuni untuk menyelamatkan diri masing-masing.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, suspek-suspek dipercayai bertindak membakar pusat tahfiz tersebut akibat perasaan dendam yang muncul daripada insiden ejek-ejekan antara penghuni tahfiz dengan pihak suspek.
Enam daripada tujuh suspek yang berumur antara 11 hingga 18 tahun disahkan positif dadah dan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau yang berkaitan dengan kesalahan merusuh dan mencuri kenderaan.
Untuk makluman, kejadian itu merupakan kes kedua terbesar yang pernah berlaku melibatkan sekolah agama.
Pondok Pak Ya
Kebakaran di Pondok Pa Ya pernah menggemparkan negara 28 tahun lalu.
Ini kerana, insiden malang yang sama pernah menggemparkan negara 28 tahun lalu di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya di Kampung Padang Lumut, Yan, Kedah.
Dalam kejadian awal pagi Jumaat 22 September 1989 itu, seramai 27 pelajar perempuan sekolah tersebut maut dalam keadaan yang sungguh tragis apabila lapan buah asrama yang dihuni mereka terbakar.
Lebih menyedihkan, sejarah hitam itu difahamkan berlaku ketika penghuni asrama yang kebanyakannya berusia antara 13 hingga 18 tahun sedang nyenyak tidur.
Kerajaan negeri nafi penutupan pusat tahfiz
sekolah
Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor telah dibangun dan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2021. — Bernama
Bagaimanapun, kerajaan Selangor menafikan tohmahan kononnya proses pemutihan sekolah agama persendirian dan tahfiz yang dilaksanakan ketika ini sebagai langkah menutup institusi berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, tuduhan tidak berasas itu sebaliknya adalah cubaan untuk memburukkan usaha murni kerajaan negeri dalam mengangkat kualiti dan taraf sekolah agama persendirian di negeri ini.
Kerajaan negeri turut menafikan tuduhan berniat jahat terhadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, sebagai dalang yang cuba menutup tahfiz persendirian di Selangor.
Sedangkan katanya, langkah proaktif tersebut dijalankan sejak 2019 bagi menyediakan garis panduan pemutihan sekolah agama (tahfiz) persendirian.
Langkah berkenaan adalah selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang gusar terhadap peningkatan kejadian malang terutama selepas tragedi kebakaran melanda Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan mengeluarkan satu garis panduan susulan kejadian kebakaran di pusat tahfiz tersebut.
Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor telah dibangun dan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2021 bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan para pelajar dan seluruh warga institusi tahfiz persendirian.
BACA: Hakim mahkamah sivil tolak permohonan wanita mualaf keluar islam undang pujian netizen