Kecoh gaji guru PASTI masih RM600 dan tiada KWSP? ironinya pemimpin PAS tuntut pengeluaran KWSP.
SEBUAH kumpulan yang menamakan organisasi mereka sebagai Hak Pasti telah melahirkan rasa kecewa terhadap pihak berwajib
Dan majikan di atas pengabaian untung nasib tenaga kerja rangkaian institusi seluruh negara institusi pra-sekolah milik Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dikenali sebagai PASTI.
Antara dakwaan Hak Pasti, tenaga kerja PASTI menerima gaji bulanan sebanyak antara RM400 dan RM600 sahaja, jauh lebih rendah dari amaun gaji minimum RM1,100 sebulan.
Selain itu, tenaga kerja PASTI tidak mencarum di KWSP dan Perkeso. Ini merupakan satu kesalahan majikan yang serius di sisi undang-undang.
Hak Pasti juga mendakwa tenaga kerja PASTI tidak dibayar kerja lebih masa. Lebih buruk lagi, kebajikan para kakitangan yang sakit tidak diambil peduli oleh majikan.
Kita ikuti e-mel yang diterima Permadu Malaysia dari Hak Pasti baru-baru ini.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kami memohon dipermudahkan urusan dalam menegakkan hak para pendidik PASTI yang dipandang sepi.
Y.B. / Y.Bhg. Tan Sri / Puan Sri / Datuk / Dato’/ Datin / Tuan / Puan / Sdra / Sdri.
Anda menerima kiriman surat/email ini kerana anda tergolong sebagai insan prihatin yang dikurniakan suara & kuasa untuk merubah nasib mereka yang ditindas. Pertama sekali kami ingin terlebih dahulu memohon maaf seandainya tindakan kami ini bakal mengundang ketidaksefahaman & ketidakselesaan pihak yang berkepentingan (sama ada secara langsung atau tidak langsung) dengan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).
Kami adalah wakil kepada sebahagian guru & warga PASTI yang dinafikan hak mereka. Kami maklum tentang risiko yang mungkin terjadi. Namun atas pertimbangan kami, hak ribuan para guru PASTI tetap perlu ditegakkan sebagai mana hak perkerja lain di Malaysia.
Objektif utama kami hanya sanya untuk kepentingan pembangunan ummah, khusus kepada pendidikan awal kanak-kanak secara Islami. Kami bukan mencari salah mana mana pihak, tetapi kami mahu semua pihak memandang isu ini secara serius dan sama-sama mencari solusi untuk membela nasib pendidik PASTI.
Usaha menegakkan hak guru PASTI ini telah lama dimulakan. Namun kami menemui jalan buntu setelah berkali-kali cuba bersuara dan mengetengahkan isu ini secara dalaman.
Maka dengan itu kami memilih untuk membawa isu hingga ke tahap nasional agar ia dapat ditangani dengan kadar yang lebih segera dan telus.
Kami sudah tidak mampu lagi berdiam diri bila melihat para guru sebagai tulang belakang PASTI membanting tulang seawal sebelum jam 7 pagi hingga lewat 6 petang setiap hari.
Kami tak mampu tutup mulut bila dapat tahu gaji mereka hanya sekitar RM400-RM600 sebulan. Bahkan ada yang terpaksa melakukan 2-3 kerja untuk menyara hidup seharian.
Kami tak mampu alih pandangan melihat guru & bekas guru yang mempunyai masalah kesihatan dan ditimpa musibah, hilang daya mencari rezeki untuk keluarga. Tiada KWSP/SOCSO untuk menjamin masa depan mereka.
Jauh di dalam hati para pendidik PASTI, mereka mahukan hak mereka sebagai pekerja ditunaikan. Mereka juga manusia biasa yang tidak lekang dari masalah kewangan, masalah kesihatan, dan masalah keluarga.
Mereka juga berhak mendapat masa depan yang lebih cerah seperti orang lain yang digajikan. Mereka bekerja seperti pekerja lain malahan lebih dari pekerja biasa.
Lebih memilukan, situasi ini sudah berlaku dan masih berlaku setelah berdekad lamanya. Jumlah guru & bekas guru pula bukan seorang dua. Tetapi mungkin boleh mencecah puluhan ribu orang jika dihitung.
Kami terdiri daripada sebahagian guru & bekas guru, warga PASTI, bekas alumni PASTI yang juga menghantar anak-anak ke PASTI, ingin membuka lembaran baru kepada sejarah pendidikan ini.
Kami menuntut semua pihak meletakkan nokhtah kepada penderitaan ini dengan melaksanakan perkara berikut:
A. Memastikan guru PASTI mendapat semua hak mereka (termasuk gaji minima, kerja lebih masa, tempoh waktu kerja, KWSP, SOCSO & lain-lain) berdasarkan akta & undang-undang Malaysia.
B. Memberi pampasan setimpal kepada guru & bekas guru yang telah berkhidmat sekian lama.
C. Memastikan nasib dan masa depan guru & bekas guru PASTI dibela seperti pekerja & bekas pekerja lain.
Tiga langkah ini merupakan satu anjakan yang sangat besar dalam perjuangan membela nasib para guru PASTI. Ia tidak hanya menyesaikan masalah hak pekerja tetapi ia juga bertindak sebagai pemangkin yang mengkuasakan guru sebagai tunjang pembangunan sebuah negara.
Sewajarnya isu ini dipandang serius kerana agenda pendidikan adalah antara agenda yang paling dominan dalam pembangunan sesebuah negara.
Semoga dengan perlaksanaan tuntutan ini dapat kita sama-sama martabatkan profesion perguruan PASTI ke tahap yang lebih tinggi. Pada waktu yang sama dapat meningkatkan lagi mutu & kualiti pengajaran dan pembelajaran anak anak.
Pendidikan awal kanak-kanak bukan hanya sebagai persediaan mereka untuk melangkah ke sekolah rendah. Tetapi ia memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan kemahiran sosial, emosi, kognitif dan fizikal sebagai asas yang kesejahteraan sepanjang hayat.
Kami ingin menjemput anda semua, insan-insan prihatin yang mendokong hak, kebenaran & keadilan supaya turut membantu menyuarakan isu ini dalam apa jua medium capaian anda.
Anda juga boleh panjangkan isu ini kepada pihak atau individu yang anda rasakan mempunyai kapasiti dan kemampuan untuk membantu menyelesaikan masalah ini.
Jika anda sendiri yang punyai kuasa, kami mohon agar anda mengambil tindakan sewajarnya dan mendesak pihak-pihak lain supaya turut serta mengakhirkan penindasan hak guru PASTI.
Dan jika anda juga adalah sebahagian dari warga PASTI dan entiti di belakangnya, kami mohon anda sebarluaskan perjuangan ini sesama anda semoga ia menjadi asbab kepada kemenangan yang hak.
Kami juga ingin mengajak anda menzahirkan sokongan untuk petisyen menuntut hak guru PASTI ini di link yang tertera di bawah.
Di kesempatan ini kami ingin tekankan bahawa kami hanya membawa isu hak pekerja semata-mata. Kami tiada niat untuk membawa isu lain yang memberi kepentingan kepada mana-mana pihak atau entiti.
Kami maklum status PASTI dan kaitannya dengan entiti kepartian. Tetapi kami bulatkan seluruh tenaga dan usahakan kami hanya untuk perjuangkan hak guru PASTI. Kami yakin dan percaya perjuangan ini akan berjaya walaupun jalannya berliku.
Wahai Tuhan, berikanlah kami kekuatan berjuang di jalan-Mu ini. Kau bukakanlah jalan, bukakanlah mata dan hati insan yang telah Kau anugerahkan mereka jawatan, pangkat, kuasa dan keprihatinan sesama manusia. Permudahkanlah apa jua yang baik bagi kami. Amin.
Kongsi & sebarkan. Hanya Tuhan sahaja yang dapat balas jasa baik kalian.
BACA:
Ini senarai 20 bandar punyai kualiti hidup terbaik dalam dunia, Malaysia tersenarai ke?