Seorang wanita langsung tidak menyangka, suami yang sangat disayanginya tergamak berlaku curang dengan rakan karibnya sendiri.
Malah lelaki berkenaan juga sanggup melafazkan talak tiga dan menghalau isterinya keluar daripada rumah sebaik sahaja perbuatan mungkarnya itu terbongkar.
Hilang arah hingga terfikir untuk membunuh diri sendiri, berikut perkongsian seorang wanita yang bangkit untuk terus hidup selepas dibantu oleh insan tidak dikenalinya.
“Kadang-kadang masa kita susah, ada orang yang kita tak kenal datang membantu. Nama pun kita tak tahu.
Sama juga macam aku. Kejadian berlaku pada 2015, tahun yang paling mencabar dan banyak dugaan dalam hidup aku.
Pelbagai jenis masalah datang bertubi-tubi. Suami juga curang dengan kawan baik aku sendiri.
“Aku tangkap mereka dalam bilik tidur kami. Kecewa jangan cakaplah. Sudahlah mak aku baru meninggal dunia masa itu. Satu-satunya insan yang berada di sisi hanyalah suami. Aku sudah tiada saudara lain selepas mak tiada. Tetapi tak sangka, sanggup suami khianati aku. Kawan itu pula aku sudah anggap macam adik sendiri.
“Tergamak kawan aku nak hancurkan rumah tangga kami. Suami ceraikan aku talak tiga masa itu juga. Mungkin suami tak tahu nak bertindak macam mana selepas kantoi. Cerai sahaja jalan yang dia nampak. Alasan suami, aku tak boleh beri anak. Dia kata aku mandul. Aku tertekan. Tertekan gila. Aku memang ada masalah dalam rahim.
“Tetapi doktor cakap masih ada peluang kalau ikut rawatan. Tuduhan demi tuduhan oleh suami, tak mampu aku balas. Aku sayangkan dia. Kenapalah suami sanggup buat macam ini. Kalau nak kahwin lain, boleh sahaja cakap baik-baik. Aku izinkan. Tetapi dia cakap sebenarnya sudah lama bencikan aku. Memang ada niat nak ceraikan aku.
“Namun suami masih menunggu masa yang sesuai. Katanya, akhirnya ada peluang. Aku meraung macam nak mampus. Kawan aku diam sahaja. Langsung tak meminta ampun atau cakap apa-apa. Aku keluar daripada rumah sehelai sepinggang. Sebab rumah itu memang milik suami. Dia halau aku keluar masa itu juga.
“Aku jalan kaki tanpa hala tujuan. Aku persoalkan macam-macam perkara. Aku fikir nak buat apa selepas ini. Sebab hidup aku selama ini, hanyalah bergantung kepada suami. Kerja pun tiada. Aku terkenangkan mak. Kalaulah dia masih ada. Aku hampir hilang kekuatan. Tak tahu nak pergi atau tidur di mana. Duit satu sen pun tiada.
“Ya Allah, masa itu aku cuma nampak mati sahaja jalan yang ada. Di dalam keadaan iman yang sedang menipis, aku fikir macam mana nak mati. Aku berada di seberang jalan masa itu. Nampak jalan raya yang sibuk. Aku nekad nak lari ke jalan yang sibuk itu sebab nampak lori treler dipandu laju. Baru nak menapak, ada tangan tarik aku.
“Kuat sangat tarikan sampai aku tersembam dekat dada orang itu. Tiba-tiba barulah timbul perasaan takut, menggigil aku. Menangis dalam pelukan dia. Meraung-raung aku. Dia tanya, ‘Akak ok ke?’. Aku dengar suara seorang perempuan muda. Tetapi tak mampu nak jawab. Dia bawa aku duduk dekat perhentian bas.
“Rasanya umur budak itu dalam lingkungan 20-an, muda lagi. Ingat lagilah, dia pakai denim dengan jaket merah. Budak itu beri aku air dan suruh minum. Dia cakap, ‘Saya nampak Akak menangis dari tadi. Sudah rasa lain macam, mujur saya ikut perlahan-lahan. Aku hanya diam, masih menangis. Dia tanya nak pergi mana, boleh hantarkan.
“Aku geleng kepala, cakap tiada tempat nak tuju. Aku juga cakap tiada sesiapa. Duit satu sen pun tiada. Aku kata, mati itu lebih baik. Dia pujuk aku, kata janganlah cakap macam itu. Mati tak dapat selesaikan masalah. Biar kita susah di dunia, sekurangnya ada ganjaran di akhirat. Daripada susah di akhirat tanpa sebarang ganjaran.
“Walaupun tiada orang di sisi, kita sentiasa ada Allah. Manusia memang akan selalu hampakan kita. Tetapi Allah sentiasa akan bantu kita. Aku sentiasa ingat kata-kata dia. Masa itu tak tahulah kenapa, rasa ringan sedikit hati aku. Masih menangis, tetapi tiadalah meraung-raung. Dia tanya sama ada aku sudah makan. Aku geleng kepala.
“Aku sudah tak fikir nak makan apa. Budak itu ajak ikut dia. Entah kenapa, aku hanya ikut sahaja. Dia bawa motorsikal jenama Honda, biasa sahaja. Kami singgahlah kedai serbaneka 7-Eleven. Aku rasa dia pun jenis orang susah. Tetapi kaya dengan akhlak. Dia beli roti untuk aku, suruh makan. Walaupun aku tak rasa nak makan pun.
“Budak itu suruh simpan dahulu, kalau lapar makan. Selepas itu, dia bawa aku dalam masa sejam lebih rasanya. Sudahlah aku tak pakai topi keledar. Hanya dia sahajalah yang pakai. Selepas itu sampai dekat satu taman perumahan. Dia bawa aku ke satu rumah. Ingatkan rumah dia, tetapi sebuah pondok untuk pelajar tahfiz.
“Budak itu ajak aku masuk. Selepas itu dia jumpa siapa entah. Kemudian, datanglah seorang perempuan yang kami panggil Umi. Dia cakap dekat aku, ‘Akak tinggallah di sini, sampai bila-bila pun tidak mengapa. Makan dan minum, semua orang sediakan. Tak perlu bayar apa-apa. Ini bilik Akak. Boleh tidur sini’.
“Katanya bilik itu ada katil dua tingkat, kena kongsi dengan orang lain. Akhirnya dia cakap, ‘Akak saya nak balik, sudah lambat nak pergi kerja’. Dia seluk di dalam poket dan keluarkan duit RM43. Katanya simpan kalau perlu apa. Akhirnya dia tanya, kenal Rajinikanth tak. Aku geleng kepala. Masa itu tak layan lagi cerita Tamil.
“Adik itu kata, Tuhan selalu uji orang yang baik tetapi tak akan hampakannya. Tuhan selalu memberi kepada orang yang jahat, tetapi tetap akan menghukumnya. Katanya itu dialog Rajinikanth dalam cerita Tamil. Katanya dia minat pelakon itu, jadi banyak dialog yang dihafal. Katanya lagi Tuhan menguji sebab akak orang yang baik.
“Tetapi Tuhan tidak akan hampakan orang baik. Budak itu minta aku jaga diri sendiri dan jangan fikir perkara buruk. Aku angguk sahaja. Percaya atau tidak, terima kasih pun aku tak sempat cakap. Jauh sekali nak tanya nama dia. Selepas dia pergi itu, tak pernah lagi jumpa. Itulah kali pertama dan terakhir.
“Aku duduk dalam rumah itu, semua orang baik-baik belaka. Aku belajar agama dan mengaji. Dekat situ juga ada orang kerajaan datang, bantu daripada segi kemahiran dan kaunseling. Lama juga aku nak pulih, hampir setahun juga. Tetapi sebabkan aku ramai kawan dan banyak kerja nak buat, jadi tak sempat nak bersedih sangat.
“Hidup aku banyak berubah, jadi orang yang sangat positif dan tak lembiklah macam dahulu. Selepas sudah kuat, aku mula mencari kerja dengan duit 43 ringgit itu. Guna untuk cetak ‘resume’ dan lain-lain urusan. Betul kata budak itu, memang Tuhan akan membantu. Aku dapat kerja dekat satu pejabat sebelum cari rumah sewa.
“Aku mula perbaiki diri. Sebelum itu adalah balik semula ke rumah bekas suami. Nak ambil sijil-sijil dan kad pengenalan aku. Aku perlukan sijil semua sebab nak daftarkan penceraian kami. Percaya tak, bekas suami merayu pulak dekat aku. Katanya kawan aku tak nak kahwin dengan dia. Dia ajak aku rujuk balik. Katanya masih sayang.
“Dasar jantan tak guna. Hari itu kata benci. Tetapi apabila tiada orang nak melayan, tiba-tiba bekas suami sayang pula. Aku kata gila. Mana boleh rujuk balik sebab dia sudah ceraikan aku talak tiga. Kalau boleh rujuk sekalipun, aku tak nak dengan dia. Masa itu, aku langsung tiada rasa sayang terhadap bekas suami seperti dahulu.
“Bekas suami ada nak peluk dan cuba sentuh aku untuk meminta maaf. Aku halang sebab kami sudah tiada kaitan. Kalau sentuh juga, aku laporkan kepada polis. Bekas suami nampak terkejut, dia tanya kenapa aku berubah. Aku ucap terima kasih sebab jadikan aku kuat macam sekarang. Dia pula meroyan tak tentu hala.
“Bekas suami tuduh aku pula yang ada jantan lain. Aku malas nak ingat balik semua itu. Selepas selesai urusan dekat makamah, aku sudah tak ambil tahu mengenai dia mahupun kawan itu. Sekarang aku sdah berjaya dan memiliki keluarga sendiri. Anak seorang, Alhamdulillah. Kehidupan aku sekarang lebih bahagia.
“Suami baharu sangat-sangat baik walaupun muda daripada aku dua tahun. Hari ini aku ada duit yang banyak, rumah dan kereta. Tetapi tetap RM43 yang budak itu beri adalah perkara paling bernilai buat aku. Umi kata yang dia pun baru jumpa budak itu pada hari kejadian. Kiranya tiada sesiapa pun dalam rumah itu kenal dia.
“Tak tahu bagaimana budak itu tahu mengenai rumah tersebut. Aku sentiasa doa dia panjang umur dan sihat selalu. Dua kali aku pergi umrah, selalu doa nak jumpa dia. Tetapi doa-doa lain Allah makbul, kecuali pertemuan kami. Suami selalu usik, entah-entah budak itu malaikat. Sebab itulah aku tak jumpa. Entahlah.
“Hanya Allah yang tahu dia manusia atau malaikat. Tetapi aku selalu berharap dapat jumpa dia. Aku nak balas budi dan jasa dia. Setiap kali ada masalah sedikit pun, aku akan ingat nasihat dia. Melalui kata-katanya, aku belajar untuk meletakkan Allah yang paling utama antara semuanya.
“Adik, terima kasih banyak-banyak kerana selamatkan akak dari dosa besar (bunuh diri). Terima kash atas segala jasa baik adik. Tak ternilai dengan emas permata atas kebaikan adik. Semoga Allah balas syurga paling tinggi buat adik.” Tulis wanita itu menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.