Keliru skop PKP 3, ini penjelasan peguam

Keliru skop PKP 3, ini penjelasan peguam

Ramai yang bertanya apa yang boleh dibuat apa yang tidak boleh dibuat dalam PKP 3. PKP ketiga ini telah diwartakan melalui warta PU(A) 117/2020 melalui Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 3) 2020 (PKP 3). PKP 3 ini berkuatkuasa mulai 15 – 28 April 2020. Peraturan ini boleh dirujuk dalam website federagazette. Tetapi mungkin orang awam sukar untuk faham bahasa undang-undang.

*KAWALAN:*

PKP 3 ini sama seperti PKP 1 dan 2 cuma lebih ketat. Antara isi penting adalah seperti berikut:

Tidak boleh bergerak dari satu negeri ke negeri yang lain kecuali telah mendapat kebenaran khas pihak polis.

Boleh bergerak dalam negeri yang sama untuk 6 tujuan sahaja, iaitu:

Membeli makanan, ubat, penokok diet (supplemen) atau keperluan harian. Syaratnya kedai yang dituju dalam radius 10km dari rumah dan keluar berseorangan. Kalau kedai dalam 10km itu tak ada, kedai lain yang paling hampir dengan jarak tersebut. Me

Membekalkan atau menghantar makanan, ubat, penokok diet atau keperluan harian;

Mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan. Syaratnya sama macam (i) kecuali boleh keluar berdua atau lebih mengikut yang munasabah. Contohnya baby kecil sakit takkan ayah nak keluar dengan baby sahaja. Mestilah emaknya ikut sekali.

Untuk memperoleh perkhidmatan perlu selain (i) dan (iii). Contohnya nak pergi bank. Perlu tunjukkan bukti yang kukuh kepada polis jika diminta.

Untuk melaksanakan tugas rasmi. Mesti ada surat kebenaran daripada majikan.

Untuk menyediakan perkhidmatan perlu. Terdapat 15 jenis perkhidmatan perlu termasuklah makanan, penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet, air, tenaga, keselamatan dan pertahanan, pengurusan kebersihan, pengangkutan, komunikasi dan internet, perbankan, e-dagang, pembekalan bahan api, hotel, logistik dan lain-lain perkhidmatan yang dibenarkan oleh menteri. Perlu tunjukkan bukti yang kukuh kepada polis jika diminta.

Pihak penyedia makanan pula hanya dibenarkan untuk menyediakan perkhidmatan bekalan makanan secara pandu lalu, bawa pulang atau penghantaran sahaja.

*PERHIMPUNAN*

Sebarang bentuk perhimpunan sama ada di tempat awam atau di tempat persendirian sama ada bagi maksud keagamaan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan dilarang sama sekali kecuali jika melibatkan upacara pengebumian. Itu pun mesti jumlah seminima mungkin.

*HUKUMAN*

Hukuman bagi orang disabitkan di bawah mana-mana PKP ini boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

*SENARIO KES*

Salahkah sekiranya seseorang itu berjumpa menteri dengan niat untuk menyampaikan pandangannya terhadap sesuatu perkara?
Jawapan: Salah melainkan ianya diminta oleh menteri itu dan ada surat kebenaran dikeluarkan oleh pejabat menteri itu dan ianya termasuk dalam 15 kategori perkhidmatan perlu.

Salahkah sekiranya seseorang itu berjumpa menteri dengan niat untuk menyerahkan makanan?
Jawapan: Salah melainkan ianya hanya untuk menghantar makanan yang dipesan sahaja. Dalam kata lain, orang itu adalah penghantar makanan atau penjual makanan dan bukan hanya sekadar masak sikit-sikit dan niat nak kongsi makanan sahaja.

Salahkah jika ingin berjumpa mana-mana orang miskin dengan tujuan untuk memberikan makanan?
Jawapan: Salah jika anda bukan pembekal makanan atau bukan dari sektor perkhidmatan perlu dan tempat yang dituju lebih daripada radius 10km perlu mendapatkan kebenaran khas polis.

Salahkah jika berhimpun untuk makan selepas membuat tugasan rasmi?
Jawapan: Sebarang perhimpunan adalah salah kecuali sebagaimana yang dinyatakan di atas. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, perhimpunan bermakna perihal berhimpun beramai-ramai utk sesuatu tujuan tertentu. S. 141 Kanun Keseksaan menyatakan perhimpunan haram adalah perhimpunan yang lebih daripada 5 orang. Tetapi kalau dah sampai buat ucapan perasmian itu dah jelas berhimpun dan satu kesalahan.

Sekian.

Dr Zulqarnain Lukman
22/4/2020

Sumber :