Kementerian Kewangan dilihat memandang enteng isu ekonomi negara – Akmal

Kementerian Kewangan dilihat memandang enteng isu ekonomi negara – Akmal

Menteri Kewangan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz perlu bersikap telus dan jujur berhubung isu ekonomi negara, kata Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir.

Hal ini, kata Akmal yang juga ketua AMK berikutan kebimbangan Kementerian Kewangan dilihat memandang enteng terhadap krisis ekonomi yang melanda negara akibat Covid-19.

Jelasnya lagi, ini selepas Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan pada 11 Feb, mengumumkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menguncup kepada 5.6 peratus pada tahun 2020.

Tambah Akmal, ia lebih tinggi daripada pengurangan unjuran kerajaan sebanyak 4.5 peratus di bawah Belanjawan 2021.

“Ini secara tidak langsung telah menimbulkan persoalan sejauh manakah ketelusan kerajaan dalam memberikan laporan yang jujur dan tepat tentang kondisi semasa ekonomi negara.

“Amat kontradik (bercanggah) apabila unjuran yang kerajaan bentangkan jauh menyimpang dari realiti semasa.

“Kerajaan berterusan mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat tidak perlu bimbang dan ekonomi negara berada di landasan tepat fasa pemulihan,” kata Akmal menerusi satu kenyataan hari ini.

FDI M’sia menjunam – Unctad

Tambahnya, ketika kerajaan membuat anggaran KDNK menguncup pada negatif (-) 4.5 peratus, Malaysian Rating Corp Bhd (MARC) telah menyasarkan penguncupan yang lebih besar sekitar negatif (-) 5.7 peratus.

Akmal berkata laporan Sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (Unctad) mendapati pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia pada tahun lalu telah menjunam 68 peratus kepada hanya AS$2.5 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Ini berdasarkan Fitch Rating yang menurunkan penarafan kredit Malaysia dari A- ke BBB+ yang akan menaikkan kos pinjaman untuk Malaysia, jelasnya.

Mengambil kira faktor tersebut, Akmal mempersoalkan adakah kerajaan akan kehilangan pertumbuhan KDNK yang diunjurkan sebanyak 6.5 hingga 7.5 peratus tahun ini.

Unjuran tahun ini dibuat sebelum pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP 2.0) yang berkuat kuasa pada 13 Jan susulan peningkatan kes Covid-19.

“Menteri kewangan digesa untuk berpijak di bumi nyata, bersikap jujur dan telus dalam membentangkan angka-angka ekonomi.

“Usah terpalit dengan permainan politik demi memberi imej baik kepada Perikatan Nasional seperti mengelirukan dan memperdayakan rakyat,” jelasnya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/562920