Kementerian Wilayah perlu contohi kerajaan negeri Selangor beli dos vaksin

Kementerian Wilayah perlu contohi kerajaan negeri Selangor beli dos vaksin

Kementerian Wilayah Persekutuan disaran mencontohi langkah kerajaan Selangor semasa mendepani ancaman wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata menterinya Annuar Musa diyakini ada kuasa dan kemampuan untuk melaksanakan program yang lebih kurang sifatnya dengan apa yang dibuat Selangor.

Katanya simpanan bernilai ratusan juta ringgit – dalam bentuk deposit tetap – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh digunakan bagi menyediakan keperluan asas terutamanya untuk kepada golongan warga emas, orang kurang berkemampuan, gelandangan, dan anggota petugas barisan hadapan.

“Dalam pada itu, saya juga menyarankan Annuar untuk membeli lima juta dos vaksin Coronavirus khas untuk warga Kuala Lumpur, sama seperti perancangan kerajaan Selangor untuk membeli dos vaksin dengan jumlah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Selangor mengumumkan beberapa program rangsangan dan bantuan yang dibuat bagi membantu penduduk negeri itu semasa berhadapan dengan isu Covid-19.

Melalui pelbagai inisiatif melalui pakej Kita Selangor itu kerajaan negeri mengalami kesan kewangan hampir RM74 juta. Ia membabitkan penduduk awam serta anggota petugas barisan hadapan yang menguruskan wabak Covid-19.

Kita Selangor turut menyediakan bantuan kepada Pahang, Kelantan dan Terengganu yang terjejas oleh banjir baru-baru ini.

Pada 18 Jan pula Selangor menyatakan hasratnya untuk membeli kira-kira lima juta dos vaksin Covid-19 untuk diagih-agihkan kepada rakyat negeri itu.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata hasrat kerajaan negeri itu dilihat sedikit sebanyak dapat meringankan beban kerajaan persekutuan dalam urusan pembelian vaksin.

“Setakat ini, hanya Selangor dan Sarawak berhasrat membeli vaksin untuk rakyat negeri masing-masing,” katanya.

Menurut Lim Selangor sekali lagi membuktikan bahawa mereka adalah kerajaan yang mendengar rintihan dan keluhan rakyat.

“Keprihatinan rakyat seperti ini wajar dicontohi Annuar untuk membantu penduduk Kuala Lumpur mengharungi cabaran Covid-19.

“Kita harus sedar bahawa masyarakat di Kuala Lumpur bukan sahaja sedang berdepan dengan wabak, tetapi juga sedang berjuang untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Tambah Lim pembelian dos vaksin itu tentu dapat mengurangkan beban yang ditanggung Kementerian Kesihatan Malaysia, dan secara tidak langsung memastikan lebih ramai orang mempunyai akses terhadap vaksin tersebut.

Ia juga katanya mempercepatkan usaha kerajaan untuk memastikan 80 peratus rakyat Malaysia dapat divaksinkan menjelang 2022.

“Sekiranya lima juta dos vaksin itu angka yang sedikit mustahil bagi Annuar, sekurang-kurangnya 50,000 dos vaksin dapat dibeli dan didahulukan kepada para petugas barisan hadapan di Kuala Lumpur kerana mereka senantiasa terdedah kepada risiko jangkitan wabak itu.

“Kuala Lumpur adalah antara negeri yang tinggi kes Covid-19, justeru perlindungan berbentuk vaksin ini wajar diberikan dengan kadar segera,” katanya. –MK