Kemungkaran berlaku depan mata pemimpin Pas, Dr Khairuddin dakwa pemimpin Pas lemah
Saya membaca kenyataan media SU Agong PAS meminta maaf tentang insiden Presiden Gerakan
Kerana dihalang sepentas atau “dihalau” daripada menyertai ceramah mega bersama Presiden PAS di Tasek Gelugor beberapa hari lalu.
Video insiden ini tersebar di media maya. Ia adalah masalah dalaman PAS dan Perikatan Nasional tetapi dalam masa yang sama ia melibatkan adab dan akhlak dalam Islam yang dipamerkan oleh parti berjenama Islam.
Islam akan dipandang tidak berakhlak dan tidak beradab dalam menerima tetamu apatah lagi tetamu tidak diundang itu adalah rakan kerjasama politik kerana kemungkaran akhlak dilakukan oleh parti yang membawa jenama parti Islam. Sedangkan Islam tidak diwakili oleh mana-mana parti pun.
Inilah bahayanya apabila parti politik dijenamakan dengan Islam tetapi gagal mempamerkan Akhlak Islam.
Menariknya kemungkaran akhlak ini berlaku di hadapan mata Presiden PAS dan Naib Presiden PAS sendiri namun ia tidak dicegah terus oleh kedua-dua pimpinan tertinggi PAS. Insiden pula melibatkan rakan gabungan politik Perikatan Nasional dan melibatkan pimpinan paling tinggi parti iaitu Presiden Parti rakan kerjasama politik sendiri.
Naib Presiden PAS sendiri dijemput ke pentas di hadapan Dominic Lau dan di hadapan matanya sendiri berlaku insiden Dominic Lau dihalang oleh pimpinan PAS Pulau Pinang untuk ke pentas.
Ia memerlukan masa beberapa hati untuk SU Agong pula mengeluarkan kenyataan meminta maaf kepada Dominic Lau dan menegur para pimpinan PAS di Pulau Pinang. Tidakkah itu kelemahan dalam mencegah kemungkaran?
Saya sendiri pernah berhadapan situasi sebegini di Masjid Rusila selepas saya berhenti PAS. Syeikh Dr Ali Qaradaghi, Setiausaha Kesatuan Ulama Islam Sedunia sebagai tetamu saya untuk program di UNISZA meminta saya mengiringi beliau ke Masjid Rusila bertemu Presiden PAS.
Dia mengetahui saya telah berhenti PAS tetapi dia tetap meminta saya mengiringi beliau untuk hadir bersama dalam pertemuan sebagai pertemuan ukhuwwah di Masjid Rusila dan juga dengan niat beliau menjadi penghubung dalam mengekalkan hubungan persaudaraan antara ahli politik Islam yang telah berbeza parti.
Saya sendiri memaklumkan selepas itu kepada salah seorang pegawai Presiden PAS saya akan hadir mengiringi Syeikh Dr Ali ke Masjid Rusila.
Sebaik tiba ke Masjid saya dihalang dan tidak dijemput masuk oleh petugas ke pejabat Presiden PAS.
Hanya Syeikh Dr Ali dibenarkan masuk. Saya tiada masalah kerana memahami situasi telah berhenti daripada PAS. Tetapi hampir sahaja Syeikh Ali membatalkan pertemuan kerana merasa terhina dirinya sebagai tetamu dengan saya sebagai pegiring beliau dihalang masuk. T
etapi saya menegaskan bahawa Syeikh perlu meneruskan pertemuan dan saya kekal menanti di hadapan masjid sementara pertemuan berlangsung. Pertemuan antara Syeikh Dr Ali dan Presiden PAS setelah itu berlangsung ringkas sahaja.
Itulah akhlak dalam bertamu melibatkan orang yang telah berbeza parti politik yang ditunjukkan oleh parti berjenama Islam.
Pamerkan politik dan akhlak Islam dalam berpolitik apatah lagi apabila membawa nama Islam agar Islam tidak terfitnah.
Dr Khairuddin Takiri