Kenapa Arab Saudi-Qatar tak ‘ngam’? Ingat sama-sama arab ‘kamceng’ la kan, Ini 5 punca krisis yang anda tak tahu.
Nampaknya, krisis antara negara-negara Arab masih tak selesai sepenuhnya bila rakyat Qatar dinafikan hak mereka untuk menunaikan fardu haji pada tahun ni, lepas apa yang berlaku antara negara-negara Arab beberapa bulan yang lepas.
Pada minggu lepas, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud memerintahkan kerajaannya menghantar kapal terbang milik Saudi sendiri untuk bawa jemaah Qatar sebagai tetamu, atas perbelanjaannya sendiri.
Tapi para pemerhati dan organisasi hak asasi manusia antarabangsa menggambarkan yang perkara tu cumalah aksi politik yang direka Arab Saudi untuk cover apa yang dia buat terhadap Qatar.
Baru-baru ni, satu dunia gempar apabila Arab Saudi memutuskan hubungan dengan Qatar, dengan mendakwa Qatar menyokong kegiatan terrorist. Tak lama kemudian Arab Saudi keluarkan senarai 13 permintaan yang perlu dipenuhi oleh Qatar kalau dorang nak kawan balik semula, termasuklah:
Putuskan hubungan dengan Iran
Putuskan hubungan dengan “kumpulan pengganas” termasuklah Ikhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood), Daesh, Al-Qaeda, dan Hizbullah
Tutup Al-Jazeera.
Krisis ni memang heboh satu dunia, dengan komen dari negara besar seperti Amerika…
“Negara Qatar, malangnya, memang sudah lama memberi dana kepada pengganas pada peringkat yang sangat tinggi.” – Donald Trump, dipetik oleh The Guardian.
…dan juga dari pemimpin di Malaysia:
“Maka kiblat untuk solat ialah menghadap ke Baitullah di Mekah, dan kita menjaga serta membangunkannya sebagai kiblat kita.
Adapun kiblat politik, ekonomi, kebudayaan dan lain-lainnya, maka kiblatnya ialah Rumah Putih di Washington atau Rumah Merah di Moscow,” – Abdul Hadi Awang, dipetik oleh Malaysiakini.
Kenapa tiba-tiba boleh bergaduh ni? Padahalnya, baru dua minggu sebelum tu ada sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dihadiri ramai termasuklah Arab Saudi, Qatar, dan Amerika Syarikat. Waktu tu elok je takde masalah pun.
Sila cari Najib yang tersembunyi! Klik sini kalau nak tau kenapa Najib mencebik.
Jadi bagi kami yang tak tau hujung pangkal, kami cuba selidik apa yang sudah berlaku disebabkan konflik ni. Dan memang banyak benda-benda yang sangat janggal terjadi termasuklah…
1. Kenapa negara-negara Arab tak suka dengan Ikhwanul Muslimin?
Qatar dituduh menyokong Ikhwanul Muslimin, sebuah kumpulan yang diharamkan di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu kerana dorang mencabar sistem pemerintahan beraja.
Klik sini untuk mengetahui lebih lanjut pasal Ikhwanul Muslimin dan pengasasnya, Hassan Al-Bana.
Jadi bila Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, negara-negara berdekatan pun turut sama termasuklah Bahrain, UAE, dan Mesir. Malah, negara yang sibuk dengan pergolakan masing-masing macam Yaman dan Libya pun tumpang sekaki.
Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, turut mempersoalkan pendirian Nawaz Sharif, Perdana Menteri Pakistan tentang hal ini.
“Pakistan memberitahu Arab Saudi mereka tidak mengambil pendirian memihak dalam krisis diplomatik Timur Tengah selepas Riyadh bertanya kepada Islamabad mengenai perkara itu,” – dipetik oleh Tribune Express.
Arab Saudi bagaimanapun kurang berpuas hati dengan jawapan Nawaz, dan nakkan negara tersebut menyebelahi dia. Pakistan lepas tu cuba tenangkan Raja Salman, dan dia kata yang dia akan gunakan pengaruh dia terhadap Qatar untuk meredakan keadaan. Jadi, PM Pakistan akan melawat Kuwait, Qatar dan Turki.
Menurut ulasan Abdul Muein Abadi, perbalahan Arab dan Qatar pun bukanlah benda baru, malah sejak beberapa tahun lepas lagi.
Sebabnya, Qatar dikatakan memberi perlindungan kepada tokoh Ikhwanul Muslimin seperti Yusuf Al-Qaradawi dan juga organisasi tu sendiri.
2. Kenapa Al-Jazeera pulak yang diarahkan untuk ditutup?
Gajah bergaduh sama gajah, pelanduk jugak yang mati tersepit. Kebanyakan negara yang menyebelahi Arab Saudi menghalau rakyat Qatar balik dalam masa dua minggu.
Kedutaan Qatar juga menasihatkan rakyatnya supaya meninggalkan UAE dalam masa 14 hari apabila Abu Dhabi (UAE) memutuskan hubungan dengan Doha (Qatar). Apa yang menariknya, Qatar takde pulak nak halau rakyat negara yang memutuskan hubungan diplomatik dengannya.
Bukan kedutaan je yang kena, Al-Jazeera pun akan ditutup di Israel serta negara-negara Arab yang lain. Benda ni mungkin tak pelik sangat sebab Al-Jazeera memang merupakan stesen TV dari Qatar. Tapi nampanya Qatar memang takkan mengalah pasal isu Al-Jazeera ni:
“Doha menolak perbincangan tentang sebarang perkara mengenai saluran Al Jazeera kerana ia dikira sebagai hal dalaman … Keputusan megenai hal dalaman Qatar adalah hak kedaulatan Qatar – dan tiada siapa perlu masuk campur.” – Menteri Luar Qatar, dipetik oleh Al-Jazeera.
Namun banyak juga laporan yang mengatakan sebab sebenar negara-negara ni tak suka Al-Jazeera adalah sebab berita yang disiarkan menyebabkan kebangkitan penentang-penentang kerajaan macam yang jadi kat Mesir, Bahrain, Yaman dan Syria.
Mesir pun dah hentikan operasi Al Jazeera kat negara dia selepas stesen TV tersebut interview ulama Yusuf al-Qaradawi yang secara terang-terangan mengutuk presiden Mesir, Hosni Mubarak.
“Pergi, Mubarak, tinggalkan rakyat di sini. Cukuplah, kau dah memerintah selama 30 tahun, ramai yang dah terbunuh dalam satu hari. Kau kena berhenti.” – Yusuf Qaradawi, dipetik oleh The Guardian.
Bukan tu je, Arab Saudi juga nampaknya dah haramkan terus buku-buku Yusuf Qaradawi ni atas sebab yang sama, iaitu dituduh membawa ideologi pengganas.
Menurut BBC, pada tahun 2015, beberapa wartawan Al Jazeera di Mesir ditahan atas tuduhan ‘merosakkan keselamatan negara’ oleh pihak berkuasa disebabkan tuduhan oleh Kementerian Dalam Negeri yang mengatakan wartawan mengadakan pertemuan haram dengan Ikhwanul Muslimin, yang diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas.
Selain tu juga pada awal tahun ni, Al-Jazeera juga pernah melaporkan yang penggodam dah membocorkan emel Duta UAE ke Amerika iaitu Yousef al-Otaiba dengan kumpulan pemikir neokonservatif Israel, Foundation for Defense of Democracies (FDD) yang bekerjasama sejak 2014 lagi untuk memburukkan imej Qatar di rantau Asia Barat.
3. Masa krisis ni juga, ada negara-negara lain terlibat bagi sokongan dan bantuan
Masa mula-mula negara-negara Arab ni nak tubuhkan GCC pada Mei 1981, Arab Saudi sendiri yang jadi ketua untuk idea ni.
Masa Arab Spring pada 2011, Arab Saudi menjadikan GCC sebagai blok anti-Iran dan anti-Syiah. Qatar juga salah sebuah negara dalam GCC termasuk Arab Saudi, Bahrain dan UAE yang mempunyai musuh yang sama iaitu Iran.
Jadi bila negara Arab yang lain tahu Qatar ada hubungan baik dengan Iran dan selain tu juga sokong Ikhwanul Muslimin, diorang pun tak berpuas hati sebab matlamat diorang dah tak sama. Bila krisis berlaku, beberapa negara memainkan peranan masing-masing
Masa krisis Arab-Qatar baru-baru ni pun, Iran ialah salah sebuah negara yang bagi bantuan pada Qatar padahal Iran merupakan musuh kepada GCC, tapi bukan Qatar.
Turki pula bukanlah salah sebuah negara dalam GCC, tapi Turki ada hubungan baik dengan Qatar dan juga Arab Saudi. Masa krisis Arab-Qatar, Arab dengan sekutu dia dah mulakan sekatan terhadap Qatar. Tapi, Turki sebagai negara luar yang ada hubungan antarabangsa, tetap bagi bantuan terhadap Qatar. Malah Presiden Turki, Erdogan juga yang nasihatkan Raja Salman untuk berbaik dengan Qatar.
Amerika, menyokong kuat Arab Saudi dalam krisis
Manakala Amerika pula merupakan penyokong Arab Saudi, merupakan sebuah negara yang lebih stabil. Sebab tu la dalam masa yang sama Arab Saudi gunakan Amerika untuk menekan Qatar dalam krisis ni, ulas Ayman Rashdan Wong.
4. Walaupun negara yang kecil, tapi kuasa ekonomi Qatar tak kurang hebatnya
Sejak sekatan dikenakan atas Qatar, negara ni juga banyak bergantung pada Turki dengan Iran. Qatar juga ada cakap yang kekayaan negara tersebut besar dan boleh bertahan dalam jangka masa yang panjang.
Masa hal ni berlaku, eksekutif tertinggi Qatar Airways dalam interviewnya dengan Al-Jazeera terus terang kata yang dia kecewa dengan kepimpinan Amerika Syarikat yang dikatakan kurang bijak mengawal keadaan dan dia juga dah warning awal-awal yang ianya akan meninggalkan kesan mendalam bagi ramai pihak.
Kecik je Qatar kalau nak dibandingkan dengan negara-negara Arab lain
Qatar sebenarnya pun bukan calang-calang negara tau! Walaupun dipulaukan oleh negara-negara Arab yang lain, Qatar masih disokong kuat oleh Turki, Lebanon dan Algeria. Negara-negara inilah yang membekalkan makanan dalam rak-rak di pasaraya di negara tersebut yang bekalan makanan sebelumnya datang daripada UAE dan Arab Saudi.
Malah, negara Qatar juga merupakan pengeksport gas asli cecair (LNG) terbesar dunia, malah berkongsi medan gas terbesar di dunia dengan Iran. Jadi, sebab tu la diorang ni ada hubungan baik dengan negara jirannya tersebut, tapi dipandang sebagai bersekongkol dengan keganasan oleh negara Arab yang lain.
Bukan tu je, walaupun penerbangan terus Qatar Airways dihentikan di negara-negara Arab yang tak sehaluan dengannya, syarikat penerbangan Qatar tak terus jatuh. Dia membuka terus lebih beberapa haluan baru ke negara-negara lain seperti Dublin, Perancis, Cameroon, Indonesia, Bosnia, dan beberapa negara lain lagi bermula pada bulan depan.
5. Arab Saudi akhirnya mengalah, tapi bersyarat dalam masa 10 hari
Melalui krisis selama tiga minggu ni, kita boleh tengok perihal Arab Saudi dengan kuasa besarnya dan Qatar yang kecil juga tak mudah mengalah. Bagaimanapun, Arab Saudi akhirnya baru je bersetuju untuk berbaik dengan Qatar pada hari artikel ini ditulis (23 Jun 2017). Tapi, diorang mengemukakakan 13 buah syarat yang harus dipenuhi dalam masa 10 hari, iaitu pada 3 Julai 2017.
Macam mana Arab Saudi boleh berlembut hati? Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dikatakan berbincang dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abd Aziz dan putera mahkota baru tentang krisis tu dan bersepakat untuk menghentikan perbalahan antara Qatar dan negara-negara Arab yang lain.
Masa krisis selama tiga minggu tu juga, selain Iran, kerajaan Turki adalah antara negara yang hantar kapal pertama dengan bantuan makanan ke Qatar dan turut menghantar kontinjen kecil dan kenderaan berperisai, just in case.
Pelbagai pendapat daripada penganalisa krisis Arab-Qatar
Rata-rata penganalisis antarabangsa mempunyai pendapat tersendiri dalam krisis Arab-Qatar ni
Pengaruh Syiah daripada Iran
Contohnya petikan daripada seattletimes.com, hubungan Qatar dengan Iran yang kebanyakannya berkepercayaan Syiah sikit sebanyak dah mempengaruhi Qatar yang kebanyakannya ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Hasil galian (minyak dan gas asli)
Dalam website theguardian,com pula, penganalisis dipetik berkata yang harga minyak memang sensitif terhadap ketegangan geopolitik, tapi Qatar cumalah salah satu pengeluar minyak terkecil di OPEC bersama Arab Saudi dan UAE.
Walaupun cuma negara pengeluar kecil, perbalahan dengan Qatar mungkin menjejaskan perjanjian minyak mereka. Lebih-lebih lagi Qatar adalah pembekal terbesar gas asli cecair (yang salah satu kegunaannya adalah tong gas memasak) di dunia, dan Mesir dan UAE adalah penerima utama.
Dipetik daripada analisis Zin Mahmud, wartawan veteran dan juga bekas pengarang kanan kumpulan Utusan,
“Dalam mencari punca persengketaan ini, ada penganalisis menyatakan bahawa ia bukan soal keganasan. Tetapi ia soal minyak, gas dan salurannya. Penganalisis itu memaparkan hujah-hujahnya dengan peta mengenai kedudukan minyak dan gas di negara itu.
Dulu, penaklukan Iraq ke atas Kuwait juga kerana minyak. Saddam Hussein menuduh Kuwait mencuri minyaknya. Ia juga menganggap Kuwait sebagai salah sebuah wilayahnya yang diambil oleh British.
Sementara Qatar juga pernah menjadi wilayah naungan British dan mencapai kemerdekaan pada tahun 1971 setelah usaha untuk menyatukannya dengan Bahrain dan negeri-negeri yang kini menjadi UAE gagal.”-penganalisa krisis Arab-Qatar.
Pengaruh kuasa dalam GCC
Manakala menurut Ayman Rashdan Wong, Pegawai Tadbir Diplomatik di Pejabat Kerajaan Persekutuan Malaysia, berpendapat yang punca perbalahan antara negara-negara Arab ni lebih kepada pengimbangan kuasa dalam GCC, menentang Iran. Bagaimanapun bila Qatar nampaknya lebih condong terhadap Iran, GCC terpaksa menekan Qatar dan mengenakan 13 syarat tersebut untuk kestabilan ekonomi dan negara-negara Arab.
Menurut Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi, matlamat Qatar yang bertentangan dengan negara Arab yang lain menyebabkan krisis ini.
“Qatar mesra Ikhwan Muslimin dan Rusia. Sama sekali bertentangan dengan Arab Saudi, UAE, dan Mesir yang kini menganggap pertubuhan tersebut sebagai pengganas, Qatar bukan sahaja mengadakan hubungan rapat dengan Mesir sewaktu era Morsi, bahkan turut melindungi kepimpinan Ikhwanul Muslimin” –Abdul Muein Abadi
BACA: