Kenapa negara ‘Greenland’ berais, tapi negara ‘Iceland’ lebih hijau? Kenapa namanya terbalik? Ini kisahnya yang sebenar

Oleh KAMARUL HISHAM ABDULLAH

Kenapa negara ‘Greenland’ berais, tapi negara ‘Iceland’ lebih hijau? Kenapa namanya terbalik? Ini kisahnya yang sebenar

Walaupun adakalanya nama sesuatu tempat kelihatan tidak berkaitan dengan geografi lokasi berkenaan,

ia seringkali mempunyai kisah tersendiri di sebalik nama tersebut berdasarkan cerita penduduk tempatan.

Kenapa negara 'Greenland' berais, tapi negara 'Iceland' lebih hijau? Kenapa namanya terbalik? Ini kisahnya yang sebenar

Hal yang sama berlaku bagi dua pulau negara Nordik ini iaitu Iceland dan Greenland. Jika dilihat pada nama kedua-duanya, kita pasti berfikir bahawa Iceland diliputi ais dan Greenland diliputi tumbuhan menghijau.

Namun begitu, hakikatnya agak bertentangan kerana 80 peratus Greenland ditutupi ais manakala hanya 11 peratus kawasan diliputi ais kekal di Iceland. Hairan, kan? Jom teruskan bacaan untuk mengetahui kisah di sebalik nama pulau-pulau ini.

Kedua-duanya dinamakan oleh pengembara Viking
Menjadi resam kelompok pengembara ini menamakan sesuatu tempat mengikut apa yang mereka lihat. Sebagai contoh, anak kepada Erik the Red, Leif Eríksson pernah menamakan satu tempat di Kanada sebagai Vinland setelah melihat anggur liar (atau kemungkinan beri hitam) tumbuh di pantai.

Terdapat beberapa kisah mengenai asal usul nama pulau-pulau ini setelah diteroka oleh pengembara berbeza. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, jom kita teruskan bacaan.

Iceland
Populasi setakat 2017: 338, 349 orang

Pulau ini ditemui lebih 100 tahun sebelum Greenland pada tahun 874 sebelum masihi (A.D.)

Permukaan laut pulau ini 6°C lebih tinggi berbanding Greenland. Iklim yang lebih sederhana ini (berbanding Greenland) membuatkan suhu musim panas negara itu lebih tinggi – bermakna lebih banyak tumbuhan di seluruh pulau berkenaan.

Walaupun begitu, 11 peratus kawasan di pulau ini diliputi oleh ais kekal manakala glasier terbesar di Eropah, Vatnajökull terletak di Iceland.

Menurut sebuah kisah, Naddador merupakan pengembara Nordik pertama yang tiba di sini. Dia menamakan pulau ini sebagai Snæland atau snow land kerana ia diliputi salji pada ketika itu.

Setelah itu, seorang Viking dari Sweden, Garðar Svavarosson pula menuruti jejak Naddador ke pulau berkenaan dan menamakannya sebagai Garðarshólmur (“Garðar’s Isle”).

Tidak terhenti di situ, seorang pengembara lain bernama Flóki Vilgerðarson menuju ke pulau tersebut bersama keluarganya pada musim sejuk di mana anak perempuannya maut kelemasan ketika pengembaraan.

Keluarga tersebut teruji lagi apabila haiwan ternakan yang dibawa untuk kelangsungan hidup mereka turut mati akibat kesejukan. Tertekan dengan situasi tersebut, Flóki memanjat gunung di mana dia melihat terusan di antara lembah (fjord) yang dipenuhi ketulan ais.

Disebabkan itu, dia menamakan pulau tersebut sebagai Iceland.

Greenland
Populasi setakat 2017: 56,171 orang.

Perkampungan nelayan di Greenland ketika senja. (Kredit: Weimen Chu/NatGeo)
Menurut National Geographic, pulau terbesar di dunia ini lebih hijau pada tahun 982 sebelum masihi (A.D.) ketika Erik Thorvaldsson tiba di barat daya pulau berkenaan berbanding hari ini.

Erik dikenali sebagai seorang penduduk Iceland yang dikenali dengan sikap panas baran dan mempunyai rambut berwarna merah, menyebabkannya digelar Erik the Red.

Oleh sebab dia pernah membunuh tiga individu dalam satu persengketaan, dia diusir dari pulau berkenaan. Sejak itu, dia belayar mencari tempat tinggal baru dan menemui sebuah pulau.

Menurut Guðni Thorlacius Jóhannesson, seorang profesor dalam bidang sejarah merangkap Presiden Iceland terkini, Erik meninggalkan negara itu dan menuju ke pulau di sebelah barat sebelum menamakannya Greenland – sebagai cara untuk mengkomersialkan lokasi itu.

“Ketika musim panas, Erik pergi ke pulau berkenaan dan menamakannya Greenland, dengan anggapan orang akan tertarik untuk ke sana jika ia mempunyai nama yang menarik,” katanya.

Selain itu, ada juga yang berpendapat kelompok Viking di Greenland mengamalkan ekonomi agraria pada awal penemuannya, membuatkan tanah di sana diliputi tumbuhan hijau.

Berdasarkan penemuan cangkerang dari tahun 800 hingga 1300 A.D., selatan pulau ini lebih hangat namun pada abad ke 14, suhu maksima musim panas di sini menurun.

Disebabkan suhu yang menurun, tumbuhan sukar untuk hidup dan ais lautan semakin bertambah sehingga menyebabkan populasi Nordik di sana terpaksa meninggalkan tempat tersebut.

Kini, rakyat tempatan memanggil negara itu Kalaallit Nunaat yang bermaksud ‘Tanah Kami’ dalam bahasa Inuit.

Perubahan Iklim
Menurut National Geographic, ais yang meliputi Greenland mula mencair dan menyebabkan Atlantik Utara semakin sejuk hingga boleh melambatkan pengaliran Gulf Stream.

“Jika tren ini berterusan, Iceland akan mengalami penurunan suhu manakala Greenland akan semakin hangat dan menyebabkan pencairan aisberg.

“Dalam satu atau dua abad lagi, Greenland mungkin akan semakin menghijau dan Iceland akan semakin berais, sepertimana nama mereka seribu tahun lalu,” kata portal berkenaan.

BACA: Betul ke Hari ‘Asyura’ Allah selamatkan Nabi Musa daripada Firaun? Ini kisah di sebalik Hari Asyura ramai tak tahu