Kenapa Umno nak sangat PRU dipercepatkan?, soal Bersatu

Kenapa Umno nak sangat PRU  dipercepatkan?, soal Bersatu

Seorang pemimpin PPBM Johor mempersoalkan motif Timbalan Pengerusi Umno negeri, Nur Jazlan Mohamed beria-ria mahu pilihan raya diadakan secepat mungkin, walaupun tempoh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) masih berbaki lebih 2 tahun.

Osman Sapian berkata demikian selepas Nur Jazlan dilaporkan berkata, Umno dan PAS Johor akan berbincang mengenai pilihan raya negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini tanpa melibatkan PPBM negeri itu.

Katanya, jentera Umno bersedia menghadapi PRN atau PRU15 sejak lebih 2 bulan lalu.

“Pertamanya, saya hendak tanya pilihan raya itu akan diadakan bila? Dia tahu ke atau diakah yang menetapkan tarikh pilihan raya? Kita masih ada masa 2 tahun setengah lagi,” kata Osman kepada FMT ketika ditanya hubungan Umno dan PPBM Johor.

Adun Kempas itu berkata, hubungan kedua-dua parti itu baik dan menafikan tuduhan segelintir pihak tiada kerjasama antara 2 parti itu.

“Perhubungan kami biasa, dalam PN kami bekerjasama. Siapa cakap kami tidak bekerjasama? Kalau kami tidak bekerjasama, PN akan tumbang.

“Jadi, tidak bolehlah cakap tidak ada kerjasama. Jadi, isu itu memang tidak timbul lagi,” katanya.

Bekas menteri besar Johor itu mendakwa Nur Jazlan beria-ia mahu PRN atau PRU15 diadakan segera kerana beliau mengimpikan jawatan menteri.

“Dia hendak sangat pilihan raya secepat mungkin sebab apa, sebab dia dulu kalah (PRU14). Jika kali ini menang, bolehlah jadi menteri. Itu saja. Siapa yang kalah memang mahu cepat-cepat bertanding, hendak cepat pilihan raya.

“Saya mahu beritahu dia (Nur Jazlan), buat kerja dulu. Macam mana dia boleh kata Umno kuat? Kalau kata Umno kuat, dia tidak akan kalah dahulu. Kalah pun dengan majoriti lebih 20,000 undi.”

Katanya, lebih baik Umno, PPBM dan PAS meneruskan kerja serta usaha mendekati rakyat di negeri itu berbanding terus bertelagah satu sama lain.

Pada PRU14, Nur Jazlan yang mewakili Barisan Nasional bertanding di Parlimen Pulai dan hanya memperoleh 26,523 undi berbanding calon Pakatan Harapan, Salahuddin Ayub yang meraih 55,447 undi.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/07/26/kenapa-nur-jazlan-mahu-pilihan-raya-dipercepatkan-soal-pemimpin-ppbm-johor/