Kenyataan Zafrul satu ugutan kepada pembangkang – Lim Kit Siang

Kenyataan Zafrul satu ugutan kepada pembangkang – Lim Kit Siang

Veteran DAP Lim Kit Siang tidak senang dengan amaran Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa gaji petugas barisan hadapan akan terjejas jika Belanjawan 2021 gagal diluluskan.

Tambahnya, itu merupakan satu ugutan kepada pembangkang yang dilihat mula mempersoalkan untuk menyokong belanjawan itu.

Lim melihat kenyataan itu sebagai ancaman kepada ahli parlimen pembangkang yang katanya “telah mencuba sedaya upaya untuk menyokong Belanjawan 2021.”

“Namun menteri kewangan telah mengambil kesempatan ke atas nasihat Yang di Pertuan Agong supaya ahli-ahli parlimen menyokong belanjawan ini untuk memulihkan ekonomi negara dalam berhadapan dengan wabak Covid-19 yang dikatakan datang “sekali dalam seabad,” katanya dalam satu kenyataan hari in.

Anggota Parlimen Iskandar Puteri turut menyifatkan tindakan Tengku Zafrul tidak bertanggungjawab.

“Semalam, menteri kewangan telah memberikan amaran, mengatakan yang gaji para penjawat awam, petugas kesihatan, dan bantuan kewangan akan terhalang jika Belanjawan 2021 ini tidak diluluskan.

“Saya bersetuju dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang kenyataan Tengku Zafrul ini adalah satu ugutan yang tidak boleh diterima dan merupakan satu cubaan untuk mengetepikan kritikan yang sah terhadap Belanjawan 2021 yang tidak dipertimbangkan oleh kabinet,” katanya lagi.

Selain itu, Lim turut berkata pertemuan Tengku Zafrul bersama pihak pembangkang beberapa minggu lalu untuk mempertimbangkan cadangan mereka dimasukkan dalam Belanjawan 2021 itu tidak memadai.

Lim malah menggesa satu lagi pertemuan bersama Tengku Zafrul diadakan bagi mempertimbang kembali cadangan pihak pembangkang.

“Memandangkan telah selesai seminggu perbahasan Belanjawan 2021 ini, Tengku Zafrul perlu berjumpa dengan ketua pembangkang untuk membincangkan bagaimana beliau boleh memasukkan pendapat dan cadangan ahli-ahli parlimen pembangkang supaya Belanjawan 2021 ini boleh benar-benar menjadi Belanjawan Perpaduan,” katanya lagi.

Menurut Lim, dijangkakan pengundian Belanjawan 2021 akan berlangsung pada 25 Nov ini, selepas ahli parlimen terakhir menggulung perbahasannya.

Beliau juga menyoal kemungkinan sama ada belanjawan itu akan lulus atau tidak berdasarkan perkembangan semasa.

“Parlimen kini sedang membahaskan bacaan kedua Belanjawan 2021 pada peringkat dasar, di mana perbahasan ahli-ahli backbenchers akan berakhir pada hari Khamis ini dan disusuli dengan penggulungan daripada para menteri, dan penggulungan akhir oleh menteri kewangan dijangkakan pada 25 November.

“Perkara ini akan disusuli dengan undian terhadap bacaan kedua belanjawan ini.

“Adakah Belanjawan 2021 Tengku Zafrul ini akan bertahan sehingga pengundian bacaan kedua yang akan berlangsung pada 25 November ini dalam tempoh sepuluh hari yang akan datang,” soalnya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/551027