Kepenatan bantu mangsa banjir, pemuda ini akhirnya pengsan dan jatuh dari perahu

Kepenatan bantu mangsa banjir, pemuda ini akhirnya pengsan dan jatuh dari perahu

Kepenatan membantu mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) menyebabkan seorang lelaki ditemukan lemas selepas dia pengsan dan terjatuh dari perahu di Kampung Manjor, Kuala Krai, pada Rabu malam.

Jasad Mohammad Hakimin Rahim, 20, dijumpai pada 8.30 pagi Khamis oleh ahli keluarganya di dasar sungai di tempatnya dilaporkan terjatuh dari perahu.

Mangsa dikatakan terlalu kepenatan sebelum tiba-tiba pengsan pada jam lebih kurang 10 malam ketika berdayung perahu membawa dua penumpang ke PPS berdekatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Muhammad Rizwab Ar-Rafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.07 malam.

Katanya, seramai lima anggota ditugaskan ke tempat kejadian bagi menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR)

“Kita menghentikan SAR pada jam 12.31 tengah malam tadi berikutan keadaan gelap selain hujan serta air mula melimpah di kawasan rendah.

“Operasi sepatutnya bersambung pagi ini, namun kami dimaklumkan bahawa mayat mangsa sudah dijumpai oleh ahli keluarganya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dipercayai terjatuh akibat kepenatan selain mengalami kekejangan berikutan cuaca sejuk ketika membantu penduduk kampung sejak awal pagi hingga malam.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk tindakan selanjutnya.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/letih-bantu-mangsa-banjir-pemuda-ini-pitam-dan-terjatuh-dari-perahu-lalu-lemas-276519