KEBAKARAN BERULANG DI HOSPITAL SULTANAH AMINAH: LAPORAN TRAGEDI KEBAKARAN 2016 WAJAR DIBAHASKAN DI PARLIMEN
Merujuk kepada kebakaran yang berlaku di Wad Perempuan 1, Hospital Sultanah Aminah (HSA) semalam, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan serta berterima kasih kepada pasukan bomba dan penyelamat yang berjaya mengawal kebakaran serta petugas-petugas kesihatan yang membantu menguruskan para pesakit ketika kejadian.
Saya menyambut baik pengumuman daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan penubuhan jawatankuasa oleh bagi menjalankan siasatan.
Sementara kita memberi ruang bagi mengenal pasti punca kebakaran, kejadian semalam merupakan kebakaran kali ketiga dalam tempoh 5 tahun bagi HSA yang mana pada 2016, Unit Rawatan Rapi (ICU) telah terbakar dan seramai 6 orang mangsa telah terkorban.
Dalam membicarakan isu ini, sewajarnya soal keselamatan pesakit dan petugas-petugas kesihatan dijadikan sebagai perkara utama.
Susulan tragedi kebakaran tahun 2016, satu jawatankuasa siasatan bebas telah ditubuhkan oleh KKM yang diketuai oleh Mohd Hishamudin Yunus, bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan dianggotai oleh 6 lagi anggota yang terdiri daripada mantan Pengrah Kesihatan, mantan Pengarah JPA, mantan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, wakil Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Wakil daripada Lembaga Arkitek Malaysia serta seorang pensyarah.
Hasil laporan tersebut yang dikatakan setebal 225 muka surat telah diserahkan kepada KKM pada Jun 2018.
Namun, persoalan timbul apabila baru-baru ini Boo Su-Lyn, ketua pengarang berita portal kesihatan CodeBlue yang menulis artikel berkaitan laporan tersebut telah disiasat oleh pihak polis dibawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan.
Malah, Hishamudin Yunus, pengerusi jawatankuasa tersebut juga turut dipanggil polis bagi siasatan dibawah Akta yang sama sedangkan beliau menyatakan bahawa laporan tersebut telah diklasifikasikan tidak lagi sulit oleh kerajaan pada Oktober 2019.
Sekiranya penulisan artikel yang diterbitkan oleh CodeBlue tidak tepat, sewajarnya laporan jawatankuasa siasatan bebas tersebut wajar dilaporkan kepada umum agar maklumat sebenar boleh diperoleh.
Saya menggesa agar pihak kerajaan dapat membentangkan dan membahaskan laporan tersebut dalam persidangan Parlimen akan datang.
Pada masa yang sama, pembentangan laporan secara terbuka adalah penting supaya ada ketelusan dan akauntabiliti.
Sebagai anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), setiap laporan PAC yang dibentangkan akan disusuli dengan cadangan dan penambahbaikan, bersandarkan Peraturan Mesyuarat Parlimen.
Memandangkan laporan ini telah siap sejak tahun 2018, rakyat wajar dimaklumkan apakah tindakan yang telah diambil bagi memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kesediaan menghadapi bencana kebakaran di hospital.
Walaupun kebakaran semalam telah disusuli dengan pembentukan jawatankuasa siasatan yang baru, saya khuatir sekiranya tiadanya locus standi atau kekuatan untuk memastikan ketegasan dan kepatuhan untuk memastikan tindakan susulan diambil.
Melalui pembentangan dan perbahasan laporan tragedi kebakaran 2016 di Parlimen, Ahli-Ahli Parlimen boleh menjalankan semak dan imbang bagi mendesak kerajaan mengambil serius keadaan soal keselamatan dan kesejahteraan perkhidmatan kesihatan negara dan jika terdapat keperluan untuk dana dan peruntukan tambahan bagi penyelenggaraan dan naik taraf hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan kerajaan.
Sekian, terima kasih.
AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua AMK Malaysia
Sumber: