Kerajaan patutnya tunjuk simpati, jangan tak ada hati perut – Anwar

Kerajaan patutnya tunjuk simpati, jangan tak ada hati perut – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharapkan dapat menonjolkan barisan kepimpinan yang kreatif dan inovatif selain mampu melihat ke hadapan selepas negara pulih dari Covid-19.

Presiden PKR itu sedih melihat nasib rakyat terutama dari golongan B40 dan miskin terpaksa beratur di premis pajak gadai mengadaikan barangan kemas masing-masing untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Sedangkan, ujar beliau, pajak gadai yang menjadi tumpuan orang ramai itu mengamalkan sistem riba, yang sudah tentu akan membebankan rakyat apabila berdepan dengan penebusan kelak.

“Saya terkejut melihat fenomena orang ramai berpusu-pusu menyerbu pajak gadai. Itu maknanya mereka sudah habis ikhtiar, mereka terpaksa gadai barang kemas, ada yang hadiah perkahwinan.

“Kerajaan sepatutnya tunjuklah simpati sikit, bukan bangga melihat rakyat sudah boleh keluar keluar menuju ke premis pajak gadai. Naratif ini kena ubah. Jangan tidak ada hati perut kemanusiaan langsung,” katanya dalam Sesi Facebook Live Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Anwar turut menjawab soalan netizen yang mempersoalkan kenapa pemimpin Pas semakin lesu selepas menjadi sebahagian dari kerajaan.

Katanya, itu netizen kena tanya pemimpin Pas sendiri, kenapa tidak ada suara tegahan atau larangan apabila kerajaan melonggarkan syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membenarkan sukan seperti golf dan judi magnum.

“Sedangkan, masjid, sekolah belum boleh dibuka tetapi, tidak ada suara dari pemimpin Pas menentang keputusan itu, berbanding sebelum menjadi kerajaan, riuh rendah bersuara menyatakan ketidaksetujuan mereka.

Mengenai soalan pemandu mabuk yang melanggar seorang anggota polis, beliau menjelaskan, isu begitu penting itu tidak boleh dibincang dalam tempoh terdekat ini kerana Parlimen hanya bersidang satu hari pada 18 Mei ini.

Beliau turut menggesa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong agar tegas dengan menyegerakan pindaan undang-undang lebih keras untuk menghukum pemandu mabuk.

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2020/05/05/anwar-sedih-rakyat-terpaksa-ke-pajak-gadai/