Kerajaan setuju hidupkan semula PLKN 3.0

Oleh ISMAIL YAHYA

Kerajaan bersetuju untuk meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0

Dengan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya, di mana anak muda akan menjalani latihan di kem tentera.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebanyak 13 kem tentera Wataniah akan digunakan untuk latihan selama tempoh 45 hari, dengan kapasitinya mampu menampung seramai 4,000 pelatih.

Kerajaan setuju hidupkan semula PLKN 3.0

“Kerajaan sudah memikirkan semula untuk meneruskan PLKN. Jemaah Menteri pada 2021 sudah pun meluluskan supaya ia dikaji semula dengan cara baharu untuk kita meneruskan PLKN.

“Satu jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN, tetapi dengan ‘template’ (acuan) baharu yang mana PLKN dulu dilakukan di banyak kem.

“Kita mahu supaya kali ini, kita tidak berbelanja banyak tetapi ia lebih memberikan pulangan baik kepada modal insan,” katanya menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu pada sidang medianya, Mohamad menjelaskan, pelaksanaan PLKN 3.0 akan merangkumi dua fasa, dengan fasa pertama membabitkan penyertaan pelajar tingkatan empat yang berlangsung di sekolah menerusi penyertaan mereka dalam badan beruniform.

“Selepas itu, mereka yang selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilatih dan diambil (dalam) apa yang disebut sebagai latihan fasa kedua. Ini lebih kepada latihan disiplin dan ketenteraan.

“Itu sebab, dia punya cadangan supaya pusat latihan ini diadakan di kem tentera. Kita ada Pusat Latihan Askar Wataniah sebanyak 13 di seluruh negara serta Pusat Latihan Polis (PULAPOL) yang dapat menampung latihan untuk satu tahun sekurang-kurangnya 4,000 orang,” katanya.

Beliau berkata, kos pelaksanaan PLKN 3.0 dicadangkan tidak melebihi RM100 juta setahun, lebih rendah berbanding lebih RM500 juta setahun sebelum ini.

“(Penggunaan kem tentera dan PULAPOL) dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan ini juga membolehkan mereka mendapatkan situasi sebenar ketenteraan dan kepolisan.

“Dalam 45 hari latihan ini, 90 peratus daripada modul adalah untuk latihan sebagai anggota tentera dan 10 peratus latihan kewarganegaraan. Disiplin penting, kita perlu anak muda yang memiliki disiplin tinggi dan latihan ketenteraan ini boleh memberikan semangat jati diri yang kuat kepada anak muda,” katanya.

Mohamad berkata, selepas pelatih menamatkan latihannya, mereka akan diberi peluang untuk menyertai badan uniform seperti tentera dan polis.

“Selepas berakhir fasa dua, mereka akan disambut oleh pertahanan awam, polis dan tentera. Mereka yang mahu masuk tentera akan diserapkan sebagai anggota tetap dan mereka akan jalani latihan asas dan rekrut semula.

“Mereka yang sudah masuk IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam) boleh sertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan lain-lain. Di universiti wujud badan uniform yang boleh memberikan peluang mereka untuk memasuki badan beruniform. Kalau mereka mahu jadi bomba, RELA pun memang sudah sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penambahan khidmat jurulatih dari veteran tentera juga dialu-alukan.

BACA: “Mertua paksa kami duduk sekali, baru 3 hari kahwin keluar perangai puaka, habis semua diungkit, duit hantaran habis kat aku je, dia tak tahu duit hantaran tu kongsi”