Kerajaan tidak akan teruskan moratorium automatik, bersasar sahaja – Menteri Kewangan

Kerajaan tidak akan teruskan moratorium automatik, bersasar sahaja – Menteri Kewangan

Hanya satu peratus permohonan i-Sinar di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak diluluskan setakat ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sehingga kini 65 peratus permohonan i-Sinar sudah diluluskan, manakala 35 peratus pula sedang diproses.

“Kerajaan juga bersetuju memudah cara i-Sinar dengan pendahuluan kategori dua sebanyak RM1,000. Isytihar sendiri dan akan dapat,” katanya pada sesi taklimat media, di sini hari ini.

Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan meneruskan amalan bantuan bersasar melalui moratorium dengan membantu golongan yang paling terkesan.

“Kalau dibuka kepada semua, sumber kita akan ‘terbeban’ (stretched). Lebih baik menyokong mereka yang memerlukan daripada menyediakan bantuan yang tidak diperlukan oleh golongan yang tidak memerlukannya.

“Kadar kelulusan moratorium adalah lebih 95 peratus dan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ialah 99 peratus.

“Manakala 85 peratus peminjam PKS meneruskan bayaran pinjaman masing-masing,” katanya. – BH