Kerana peluang pekerjaan, rakyat Indonesia luah hasrat mahu pindah ke Malaysia

Oleh ISMAIL YAHYA

Selama ini, kita sering mendengar bagaimana Indonesia melihat Malaysia sebagai pesaing, bahkan terdapat beberapa ketegangan antara kedua negara.

Namun, perkara itu kini berubah apabila semakin ramai netizen Indonesia mula mempertimbangkan untuk berpindah ke Malaysia.

Kenapa? Ternyata, ada beberapa sebab yang membuatkan mereka tertarik untuk mencari peluang baru di sini.

Salah seorang penduduk Indonesia baru-baru ini berkongsi hasratnya untuk berpindah ke Malaysia. Katanya, peluang pekerjaan di Malaysia jauh lebih banyak berbanding di Indonesia.

Dia juga sedang mencari maklumat tentang cara mendapatkan pas digital nomad untuk memulakan hidup baru di negara jiran ini.

Kerana peluang pekerjaan, rakyat Indonesia luah hasrat mahu pindah ke Malaysia

Video tersebut kemudiannya tular di kalangan netizen Indonesia, dan menarik perhatian ramai yang bersetuju dengan pendapat lelaki itu. Mereka turut berfikir untuk berpindah ke Malaysia, dengan alasan yang hampir sama.

Peluang Kerja dan Kualiti Hidup Lebih Baik

Antara sebab utama mereka mahu berpindah ke Malaysia adalah kerana peluang pekerjaan yang lebih banyak dan gaji yang dianggap mampu menampung kos hidup dengan lebih baik. Tidak seperti di Indonesia, mereka berpendapat bahawa dengan gaji yang diterima di Malaysia, mereka dapat hidup dengan selesa dan masih boleh menabung.

Selain itu, mereka juga melihat kualiti hidup di Malaysia sebagai lebih baik, terutamanya dalam aspek fasiliti awam yang lebih teratur, pendidikan yang lebih maju, dan persekitaran yang lebih kondusif secara keseluruhan. Keadaan ini membuatkan ramai yang berasa Malaysia menawarkan kehidupan yang lebih stabil dan berkualiti.

Netizen Malaysia Beri Reaksi Sinis

Namun, tidak semua netizen Malaysia menyambut baik hasrat mereka untuk berpindah. Ada juga yang mencelah dalam perbincangan ini dan menyarankan agar mereka membatalkan niat tersebut.

Mereka berpendapat bahawa ini bertentangan dengan pandangan yang sering dilontarkan oleh rakyat Indonesia sebelum ini, yang mengatakan bahawa Malaysia adalah negara yang mundur.

Bagaimanapun, perubahan pandangan ini jelas menunjukkan bagaimana Malaysia kini dilihat sebagai destinasi pilihan bagi sesetengah warga Indonesia yang mencari peluang kehidupan yang lebih baik, sekaligus membuka perbincangan tentang relatifnya kehidupan antara dua negara serumpun.

BACA: Ini respon padu Erma Fatima bila Rosyam Nor cadang Fattah Amin halalkan Erma