Kereta boleh meletup jika tinggal 7 benda ini dalam kenderaan

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Ramai antara kita yang mempunyai kebiasaan meninggalkan barang-barang di dalam kereta, menjadikan kereta seolah-olah “rumah kedua.”

Namun, terdapat beberapa barang yang tidak patut dibiarkan di dalam kereta,

Terutamanya apabila kenderaan diletakkan di kawasan panas.

Kesannya bukan sahaja merugikan tetapi juga boleh membahayakan keselamatan anda.

Berikut adalah tujuh barang yang berbahaya jika ditinggalkan dalam kereta:

Kereta boleh meletup jika tinggal 7 benda ini dalam kenderaan

1. Makanan dan Minuman

Tidak semua pembungkusan makanan dan minuman direka untuk tahan panas.

Suhu dalam kabin kereta yang diparkir di bawah matahari boleh mencecah sehingga 70°C.

Pada suhu ini, bahan kimia dalam pembungkusan boleh terurai dan mencemari isi kandungan makanan atau minuman

Elakkan memakan makanan atau minuman yang telah terdedah lama di dalam kereta, walaupun pembungkusannya belum dibuka.

2. Ubat-ubatan

Kebanyakan ubat perlu disimpan pada suhu tidak lebih daripada 25°C, manakala sesetengah ubat memerlukan suhu bawah 8°C (disimpan di peti sejuk).

Jika terdedah kepada suhu tinggi, ubat boleh kehilangan keberkesanannya atau menjadi rosak.

Selain itu, sesetengah ubat juga perlu dijauhkan daripada cahaya matahari kerana sinaran UV boleh merosakkan bahan aktifnya. Mengambil ubat yang telah rosak boleh menjejaskan kesihatan anda.

3. Peranti Berbateri

Peranti yang menggunakan bateri lithium-ion seperti telefon bimbit, komputer riba, tablet, atau powerbank berisiko untuk meletup jika ditinggalkan dalam kereta panas.

Letupan bateri bukan sahaja merosakkan kereta tetapi juga boleh mencetuskan kebakaran. Selain itu, peranti seperti ini juga sering menjadi sasaran pencuri.

4. Tin Aerosol atau Spray

Produk dalam tin aerosol seperti semburan rambut, racun serangga, pewangi, atau ubat penyedut mengandungi udara termampat yang berada di bawah tekanan tinggi.

Apabila berada dalam suhu tinggi, udara di dalam tin akan mengembang, meningkatkan tekanan dan akhirnya menyebabkan tin tersebut meletup.

5. Ubat Gegat atau Racun

Barang beracun seperti ubat gegat atau racun rumpai boleh menjadi lebih berbahaya apabila ditinggalkan di dalam kereta. Pada suhu panas, bahan kimia dalam produk ini mudah meruap, mencemari udara dalam kereta.

Apabila anda masuk ke dalam kereta, anda mungkin tanpa sedar menghidu udara yang dicemari bahan toksik ini, yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan anda.

6. Pemetik Api atau Petrol

Pemetik api, terutamanya yang sering dibawa oleh perokok, mudah meletup jika dibiarkan dalam kereta yang panas.

Begitu juga dengan simpanan petrol dalam botol atau bekas kecil, yang mungkin digunakan sebagai simpanan kecemasan.

Walaupun petrol tidak akan terbakar secara spontan, ia boleh menjadi risiko besar semasa kemalangan, terutama jika berlaku tumpahan.

7. Kanak-kanak

Jangan sesekali meninggalkan anak-anak di dalam kereta, walaupun untuk masa singkat atau enjin tidak dimatikan.

Banyak kes kematian kanak-kanak berlaku akibat kecuaian penjaga yang terlupa bahawa anak mereka masih berada dalam kereta.

Keadaan dalam kereta yang panas boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami strok haba atau lemas, dan kejadian seperti ini sering kali berakhir dengan tragedi.

Adalah penting untuk sentiasa memastikan kereta kosong daripada barang-barang yang boleh mendatangkan bahaya, terutama ketika cuaca panas. Kesedaran dan langkah berjaga-jaga dapat mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini.

BACA: