KEJIRANAN yang harmoni memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti hidup seseorang, termasuk aspek mental dan emosi.
Memiliki jiran yang prihatin dan mesra mampu mengurangkan tekanan hidup dan mencipta suasana yang lebih tenteram.
Namun, tidak semua pengalaman kejiranan begitu ideal. Seorang pengguna media sosial baru-baru ini berkongsi kisah tentang
jiran lelakinya yang didakwa membawa pulang wanita lain ke rumah ketika isterinya sedang berpantang di kampung.
Tindakan itu, katanya, dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan menimbulkan dilema moral.
“Apa patut saya buat kalau jiran sebelah rumah bawa balik perempuan lain? Bini dia tengah berpantang kat rumah mak dia.
Saya geram tengok muka laki dia! Tapi suami saya tak bagi masuk campur sebab itu rumah tangga orang,” tulis wanita itu di platform media sosial.
Tambahnya, tindakan lelaki tersebut membawa pulang seorang wanita berambut perang telah dirakam oleh jiran lain, dan lelaki itu menipu dengan mengatakan wanita itu adalah adik iparnya. Namun, alasan itu jelas tidak logik kerana adik iparnya yang sebenar bertudung dan berbadan gempal.
“Mak mertua saya pun tanya siapa wanita tu… dia boleh cakap adik ipar dia tumpang tidur sebab bergaduh dengan suami. Lucu sangat alasan tu, sebab kalau betul, kenapa adik ipar dia tak balik ke rumah mak mertua jaga kakak dia yang tengah berpantang?” luah wanita tersebut.
Wanita itu mengakui dia berada dalam dilema sama ada untuk memberitahu perkara tersebut kepada isterinya yang sedang berpantang. Dia khuatir berita itu akan memberi kesan buruk kepada emosi wanita tersebut, terutama dalam tempoh sensitif selepas melahirkan.
“Saya rasa sedih sangat. Kalau benda ni jadi kat saya, hati mesti hancur. Tempat tidur kita tercemar dengan perbuatan keji macam ni,” tambahnya dengan emosi.
Kisah ini menarik perhatian ramai warganet, terutamanya dalam kalangan wanita. Rata-rata mereka meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki tersebut dan bersimpati dengan isterinya.
“Kalau saya, akan tunggu habis pantang dulu baru bagitahu. Takut dia alami kemurungan lepas bersalin,” kata seorang warganet.
“Tak guna punya lelaki! Isteri tengah berpantang kau buat hal. Kalau nak rejam, saya sokong!” tambah seorang lagi.
Kisah ini menjadi peringatan tentang pentingnya tanggungjawab dan kejujuran dalam rumah tangga, serta peranan jiran untuk peka tanpa mengganggu kehidupan orang lain.