Kes Covid-19 semakin meningkat, DAP gesa menteri kesihatan Sabah dilantik segera

Kes Covid-19 semakin meningkat, DAP gesa menteri kesihatan Sabah dilantik segera

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa menteri-menteri kabinet yang berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah untuk mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya memanggil mesyuarat khas untuk membincangkan usaha menyalurkan semua sumber bagi membantu Sabah melawan wabak Covid-19.

Lim turut meminta Ketua Menteri Sabah Hajiji Mohd Noor supaya segera melantik seorang menteri kesihatan Sabah bagi membantu negeri itu melawan gelombang ketiga Covid-19.

“Tiga seruan saya kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk memanggil satu mesyuarat khas kabinet melalui Zoom untuk menyalurkan semua sumber bagi membantu Sabah melawan wabak Covid-19 ini telah diabaikan.

“Tetapi para menteri PN, yang telah berkempen dalam pilihan raya negeri Sabah pada bulan lepas, menjanjikan rakyat Sabah yang mereka akan dibantu oleh Putrajaya jika mereka mengundi sebuah kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan Persekutuan, perlu mengotakan janji mereka dengan menggesa Muhyiddin untuk memanggil mesyuarat khas untuk menyalurkan semua sumber yang ada ke Sabah untuk membantu usaha melawan gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata demikian selepas terdapat laporan berhubung rakyat Sabah yang diuji positif Covid-19 namun tidak terus dibawa ke pusat kuarantin dan terpaksa menunggu.

Pesakit itu kemudian meninggalkan mesej di Facebook kepada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah selepas mengalami sesak nafas.

Kata Lim, kejadian seumpama itu menunjukkan Sabah memerlukan seorang menteri kesihatan.

Sementara itu, Lim mengingatkan Hajiji agar memberi keutamaan dalam usaha menagani Covid-19 di Sabah.

“Saya ucapkan tahniah kepada Hajiji kerana telah sembuh daripada jangkitan Covid-19 dan dibenarkan untuk keluar daripada Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu semalam.

“Tugas pertama beliau perlulah untuk memberikan keutamaan tertinggi dalam menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat di Sabah dalam berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia dan melantik seorang menteri kesihatan untuk Sabah,” katanya.

Untuk rekod, Sabah mencatatkan 49 kematian sejak hari pengundian pilihan raya negeri Sabah pada 26 September lepas. Jika dihitung sejak 31 Ogos yang lepas, negeri itu sudah mencatatkan 53 kematianakibat Covid-19.

Sabah telah mengatasi Kuala Lumpur dan Selangor yang sebelum ini merupakan negeri di tempat pertama dan kedua dari segi jumlah kes terkumpul dan peratusan peningkatan kes.

“Masanya juga telah tiba untuk seorang menteri kesihatan yang baru yang bersedia untuk memberikan keutamaan kepada keperluan di Sabah.

“Adakah para menteri PN bersedia untuk berbuat demikian, ataupun mereka terlalu sibuk memandangkan agenda terpenting mereka adalah ‘Game of Thrones’ Malaysia dan mereka tidak mempunyai masa untuk rakyat Sabah?” soalnya lagi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/547171