Kes makin tinggi di Klang, MP minta kerajaan lebih telus beri maklumat

Kes makin tinggi di Klang, MP minta kerajaan lebih telus beri maklumat

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago hari ini menggesa supaya kerajaan persekutuan lebih telus dalam mengendalikan maklumat kes penularan Covid-19 di daerah Klang.

Susulan peningkatan kes positif di Klang, Charles mencadangkan pendekatan tertentu yang menggunakan sumber yang ada dengan berkesan demi kepentingan awam.

“Pertama, Kementerian Kesihatan perlu menubuhkan Pasukan Respons Covid-19 Klang untuk membendung kebimbangan dan ketakutan di kalangan masyarakat.

“Anggota Pasukan Respons boleh melibatkan pegawai-pegawai KKM dan pegawai KKM negeri, NGO berkaitan kesihatan dan badan profesional seperti MMA, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan komuniti perniagaan Klang.

“Pasukan ini harus memantau, mewujudkan kesedaran, menyediakan laporan harian, menggerakkan komuniti dan kilang tempatan untuk menangani peningkatan ketara dalam jumlah kes Covid-19 di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia turut memberi contoh laporan berita jangkitan wabak yang melibatkan sejumlah pekerja kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang yang dikatakan cuba disembunyikan daripada umum.

Menurut Charles lagi, mustahil hal itu boleh ditutup kerana ia telah tersebar sebelum dilaporkan media lagi.

“Perlu ada pengurusan maklumat secara efektif dilakukan untuk mewujudkan keyakinan di kalangan penduduk tempatan dan perniagaan,” kata Charles sambil memetik amaran daripada pakar yang menjangkakan Klang mungkin boleh menjadi “mini Sabah” sekiranya situasi sedia ada tidak dibendung dengan segera.

Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan berlaku penularan di hospital Klang. Jabatan Kesihatan Selangor kemudian mengesahkan bahawa 50 kakitangannya dan pesakit yang tidak didedahkan jumlahnya telah diuji positif Covid-19.

Isu perkongsian maklumat berkaitan kes jangkitan Covid-19 di Selangor, terutamanya di Klang bukanlah perkara baru.

Minggu lalu, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud malah memberitahu Malaysiakini dirinya juga tidak dimaklumkan mengenai penularan kes di hospital kerajaan di negeri itu.

Menurut Mariah, KKM mengawal segala maklumat tanpa makluman kepada kerajaan negeri, katanya ketika dihubungi mengenai kes penularan di Hospital Serdang pada bulan ini.

Hal sama turut dibangkitkan ahli majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK) semalam bahawa agensi kesihatan kerajaan persekutuan tidak berkongsi maklumat dengan pihaknya.

Dakwa ahli majlis itu, pada tahap tertentu, terdapat sukarelawan dari luar yang dihantar ke Klang untuk menjalankan kerja-kerja nyahkuman dan dalam masa sama MPK tidak dimaklumkan mengenai peningkatan kes di situ.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/556046