Kes positif meningkat jika SOP PKPB tak dilaksanakan dengan ketat – KP Kesihatan

Kes positif meningkat jika SOP PKPB tak dilaksanakan dengan ketat – KP Kesihatan

Sekiranya PKPB diteruskan tanpa SOP yang ketat, maka dikhuatiri kes positif akan meningkat dalam masa seminggu.

Kes positif koronavirus (C0vid-19) membabitkan penularan tempatan menunjukkan peningkatan dua hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 69 kes baharu, 57 kes membabitkan penularan tempatan berbanding kes import sebanyak 12.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif positif C0vid-19 sebanyak 6,071 kes,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini C0vid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 1,758 pesakit C0vid-19 masih dirawat di hospital.

“Sehingga kini, seramai 37 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 14 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

 

Beliau berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan merekodkan satu kematian membabitkan lelaki berumur 66 tahun yang juga mempunyai penyakit barah darah.

Katanya, pesakit berkenaan merupakan kes positif ke-5,441 dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif 4,818.

“Dia dirawat di hospital Kuala Lumpur pada 14 April lalu dan disahkan meninggal dunia 4 petang semalam,” katanya.

 

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 58 kes baharu yang mana 25 kes terdiri daripada kes import dan 32 penularan tempatan.

Berdasarkan data terbaharu KKM, dua lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mempunyai kes jangkitan baharu iaitu Selayang Baru (17 kes) manakala satu lagi lokaliti terdiri dari Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur, Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur mencatatkan sebanyak tiga kes.

Bagi kluster perhimpunan Sri Petaling, KKM mencatatkan pertambahan empat kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan positif C0vid-19 sebanyak 2,179 kes.

PKP Longgar Bukan ‘Tiket’ Orang Ramai Boleh Bergerak Bebas – Ketua Polis Negara

 

DALAM pada itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan dilaksanakan kerajaan bermula Isnin ini dengan memberikan beberapa kelonggaran, bukan ‘tiket’ untuk orang ramai boleh begerak bebas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata orang ramai diminta untuk bersabar dan sentiasa membuat pertimbangan yang sebaiknya semasa ingin keluar dari rumah kerana penularan wabak C0vid-19 masih berlaku dan berterusan.

Beliau turut menasihatkan supaya hanya mereka yang benar-benar perlu keluar sama ada untuk bekerja di sektor yang telah dibenarkan, membeli barang keperluan

Juga untuk mendapatkan rawatan kesihatan selain mempunyai kaitan dengan kebenaran kerajaan boleh bergerak untuk menjalankan aktiviti harian mereka.

 

“Keputusan yang dibuat kerajaan ini bukanlah satu jaminan bahawa penyakit ini sudah berjaya diatasi

Namun kerajaan memberikan kelonggaran adalah disebabkan atas kepentingan ekonomi jadi orang ramai perlu bersabar dan tidak tergopoh-gapah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Abdul Hamid berkata orang ramai disaran tidak mengambil kesempatan menggunakan peluang ini untuk keluar beramai-ramai tanpa tujuan, semata-mata untuk berada di luar rumah.

Beliau berkata kerajaan sebenarnya akan melonggarkan lagi syarat yang ada dalam PKP pada masa akan datang supaya orang ramai boleh keluar untuk melakukan aktiviti riadah.

“Itu memang sudah ada dalam perancangan kerajaan tetapi masih belum diputuskan bila masa yang sesuai, namun harus dipastikan keadaan benar-benar selamat dan jarakan sosial sentiasa diamalkan.

“Justeru saya sekali lagi menegaskan, jangan pula pada hari Isnin ini, keadaan menjadi kelam-kabut, kesesakan panjang berlaku dan orang ramai keluar sehingga keadaan menjadi tidak tentu arah,” katanya.

 

Abdul Hamid berkata orang ramai perlu mengikuti saranan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan negara berjaya mengatasi penularan C0vid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja hari ini, berkata sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antaranya, restoran dibenarkan beroperasi dengan syarat mematuhi SOP perniagaan, aktiviti sukan luar seperti bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton, jogging, kayuhan basikal, golf dan larian tidak melebihi 10 orang dibenarkan dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial.

Berita penuh :http://lamanmaya.pw/dr-noor-hisyam-beri-amaran-sekiranya-pkpb-diteruskan/