Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Bukit Chedang, Seremban, hari ini.
Menurut laporan Bernama, kematian Eddin Syazlee, 50 tahun, disahkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN)
Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker. Katanya, Eddin Syazlee menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 pagi tadi.
Eddin Syazlee sebelum ini pernah dilantik sebagai Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan.
Namanya mula mendapat perhatian selepas memenangi kerusi Parlimen Kuala Pilah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018.
Ketika itu, beliau berjaya mengalahkan ahli politik veteran Umno-BN, Hassan Malek, dengan majoriti 200 undi.
Bagaimanapun, dalam PRU ke-15, Eddin Syazlee gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Pilah apabila tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Adnan Abu Hassan, dengan majoriti 6,483 undi.
Pada pilihan raya negeri Negeri Sembilan tahun lalu, beliau sekali lagi kalah kepada calon BN, Bibi Sharliza Mohd Khalid, dengan perbezaan undi yang tipis, iaitu 78 undi.
Beliau dilaporkan mengalami kemerosotan kesihatan sejak lima bulan lalu dan menerima rawatan susulan di hospital swasta sebelum dibawa pulang semalam.
“Kami (ahli PN) berada di rumahnya sejak malam tadi bersama keluarga. Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar untuk PN Negeri Sembilan. Takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Eddin Syazlee, semoga rohnya dicucuri rahmat,” kata Mohamad Hanifah.