Kestabilan politik, kegawatan ekonomi bakal gugat Malaysia, ramal bank dunia

Kestabilan politik, kegawatan ekonomi bakal gugat Malaysia, ramal bank dunia

Bank Dunia meramalkan Malaysia berdepan kemelesetan ekonomi bagi tahun 2020, dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dianggarkan pada kadar negatif (-) 0.1 peratus.

Dalam penerbitannya berjudul Kemas Kini Ekonomi Pasifik dan Asia Timur bulan April, Bank Dunia meramalkan hanya dua negara di Asia Tenggara yang mengalami pertumbuhan negatif, iaitu Malaysia dan Thailand.

Menurut Bank Dunia ramalan itu mengambil kira pertumbuhan Malaysia yang semakin perlahan sejak separuh kedua tahun 2019 dan sedang berdepan pula dengan gangguan ekonomi berskala besar, yang dijangka berlarutan sepanjang tahun.

“Amatlah penting untuk diketahui bahawa anggaran ini mempunyai darjah ketidakpastian yang tinggi, bergantung pada perkembangan pesat wabak, baik di dalam negara atau di peringkat global, serta polisi tindak balas susulan,” katanya.

Bank Dunia menjangkakan eksport bersih dan pelaburan mengecut pada 2020 sementara penggunaan swasta (private consumption) yang merupakan penggerak penting terhadap pertumbuhan negara, mengalami penguncupan daripada 7.6 peratus pada 2019 kepada 1.6 peratus tahun ini.

“Yang lebih signifikan adalah kehilangan pekerjaan dan pendapatan dijangkakan (berlaku) di kalangan golongan 40 peratus terbawah (B40), malah (turut berlaku) di kalangan 40 peratus pertengahan (M40).

“Bantuan ekonomi yang berkesan sangat bergantung terhadap bantuan sosial sedia ada yang teruji, seperti Bantuan Prihatin Rakyat dan program Bantuan Sara Hidup serta insurans sosial pekerjaan seperti KWSP dan Skim Insurans Pekerjaan,” kata Bank Dunia.

Selain cabaran ekonomi, Bank Dunia berkata Malaysia akan berdepan isu kestabilan politik ekoran perubahan kerajaan baru-baru ini dan kegiatan kewangan yang terbatas.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/517918