Khalid desak deposit Bazar Ramadan dikembalikan semula

Khalid desak deposit Bazar Ramadan dikembalikan semula

Ketika semua pihak sudah mengambil keputusan untuk tidak lagi membenarkan bazar Ramadan, Menteri Wilayah Persekutuan yakin pendekatan baru beliau boleh menjayakannya walaupun negara berhadapan dengan wabak Covid-19.

Namun terbukti, ia tetap ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara yang memutuskan semua bentuk Bazar Ramadan tidak dibenarkan tahun ini.

Ekoran itu, berpuluh-puluh ribu ringgit wang sewaan tapak Bazar Ramadan milik peniaga kecil di Wilayah Persekutuan tersangkut di DBKL dan badan-badan penganjur Bazar Ramadan.

DBKL memberi dua pilihan kepada peniaga, ia itu samada mengambil balik duit bayaran sewa tersebut atau bayaran sewa itu dibawa ke tahun hadapan sebagai bayaran untuk program tahun depan. Jika diambil balik duit itu maka mereka akan terpaksa memohon kembali tapak dan tiada jaminan mereka akan terpilih kembali.

Di lokasi yang ada penganjur bazar, pihak penganjur mendakwa mereka telah berbelanja besar untuk persiapan bazar untuk tahun ini. Oleh itu, sekiranya DBKL memulangkan deposit dan sewa tapak sekalipun, mereka akan melakukan potongan untuk menampung kos mereka.

Saya berpendapat, DBKL dan penganjur Bazar Ramadan perlu memulangkan keseluruhan bayaran yang diambil termasuk deposit, sewa tapak dan lain-lain fee yang mereka ambil dari peniaga. Ini kerana para peniaga bazar ini sangat memerlukan wang ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Sudahlah mereka tidak dapat berniaga, duit sewa dan deposit mereka pula dipegang.

Soal bazar tahun depan, ia perlu diuruskan tahun depan dengan pengundian tapak dibuat semula. Tidak wajar wang milik peniaga kecil yang sangat memerlukan wang sekarang ini dipegang sebagai deposit dan tempahan selama setahun.

Soal kerugian yang terpaksa ditanggung, khususnya penganjur pasar malam yang telah membuat persediaan, ia wajar ditanggung secara minima oleh DBKL atau Kementerian Wilayah Persekutuan yang telah memberikan harapan bahawa Bazar Ramadan akan diadakan tahun ini.

Terima kasih

KHALID ABD SAMAD

Ahli Parlimen Shah Alam

Mantan Menteri Wilayah Persekutuan

Pada 20 April 2020