Khazanah digesa jelaskan kewajaran jual saham TM, MGRC – Wong Chen

Khazanah digesa jelaskan kewajaran jual saham TM, MGRC – Wong Chen

Anggota Parlimen Subang, Wong Chen menyuarakan harapan bahawa Khazanah Nasional Bhd tidak menjual pegangan sahamnya yang besar di dalam dua syarikat hanya kerana tekanan tidak wajar daripada kerajaan untuk mengumpul dana.

Melalui pesanan teks kepada Malaysiakini, Wong menggesa syarikat pelaburan negara untuk menjelaskan kewajaran penjualan saham besar dalam Telekom Malaysia Bhd (TM) dan syarikat tunai Malaysian Genomics Resource Center Bhd (MGRC).

“Saya minta Khazanah untuk memberikan perincian yang lebih baik dan menjelaskan kewajaran pelupusan saham besar baru-baru ini di dalam dua syarikat, Telekom dan MGRC.

“Berapa kos pelaburan purata Khazanah terhadap dua syarikat tersebut dan apakah Khazanah memperoleh keuntungan daripada penjualan (saham) itu?”

“Saya harap Khazanah tidak berada di bawah tekanan yang tidak wajar untuk mengumpulkan wang bagi kerajaan,” kata Wong.

The Edge melaporkan Khazanah melalui anak syarikatnya Syntamatix Sdn Bhd telah melupuskan 11.58 peratus atau 12 juta saham MGRC pada 13 Mei.

Setakat Oktober 2019, Syntamatix, bersama dua anak syarikat Khazanah lain Neuramatix Sdn Bhd dan Encipta Ltd, menguasai 61.24 peratus pegangan saham di dalam MGRC. Jualan saham terbaru menyaksikan Khazanah keluar daripada MGRC sebagai pemegang saham terbesar.

Portal berita itu menyatakan tidak jelas siapa yang mengambil alih saham yang dijual oleh Khazanah.

Sementara itu, Reuters melaporkan Khazanah meraih RM735.7 juta dengan menjual 172.3 juta saham dalam TM.

Khazanah dipetik berkata saham tersebut dijual pada harga RM4.27 setiap satu, suatu diskaun 3.6 peratus kepada harga tutup TM pada 21 Mei.

The Edge melaporkan saham TM turun 17 sen atau 3.84 peratus kepada RM4.26 berikutan pelaksanaan penempatan saham.

Urusniaga tersebut merupakan penempatan berkaitan telekomunikasi terbesar di Malaysia dan ketiga terbesar di Asean setakat tahun ini.

Malaysia melaksanakan pakej rangsangan ekonomi Prihatin bernilai RM260 bilion untuk menangani kesan ekonomi merudum akibat Covid-19.

Awal bulan ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menjangkakan pakej Prihatin akan menjana hingga 2.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Sumber: