‘Kita guna alat khas, hancurkan semua organ dalam mayat’, Ustaz ini dedah proses awet mayat yang ramai tak tahu.
KEMATIAN yang berlaku di luar negara melibatkan ahli keluarga mahupun kenalan rapat bukanlah situasi yang mudah untuk dilalui.
Ini kerana sebagai keluarga, sudah tentunya mereka mahu melihat buat kali terakhir jasad ahli keluarga mereka sebelum dikebumikan.
Disebabkan itu, sering kali apabila berlakunya kematian di luar negara, adalah menjadi kebiasaan untuk mana-mana keluarga berhasrat dan berusaha untuk membawa pulang jenazah orang kesayangan mereka.
Namun begitu, prosedur membawa pulang jenazah itu bukanlah semudah seperti yang disangka.
Ini kerana selain perlu mengeluarkan kos yang agak tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit, prosedur pengurusan jenazah yang perlu dilalui juga tidak semudah seperti dijangka.
Menceritakan mengenai proses tersebut, Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Rafie Zainal berkata, proses pengawetan merupakan antara prosedur sukar perlu dilalui jenazah khususnya bagi yang beragama Islam.
Ini kerana menurutnya, dalam kaedah mengawet tersebut, jasad jenazah perlu menghadapi beberapa proses yang disifatkan sebagai ‘menyakitkan’ terhadap jasad terbabit.
Katanya, ia antaranya meliputi proses membuang darah bagi menggantikannya dengan cecair larutan formalin sehingga tubuh mayat keras dan pembersihan organ dalaman dengan kaedah yang agak menakutkan.
“Untuk proses pembersihan organ ini, kita akan tebuk satu lubang di perut mayat, kita akan rodok (gunakan alat khas), untuk hancurkan segala organ di dalam mayat sebelum disedut keluar.
“Jantung, usus, perut, pundi kencing, buah pinggang semuanya akan disedut keluar sebab organ dalaman inilah yang buat mayat akan cepat mereput membusuk,” katanya.
Dia berkata demikian ketika membuat perkongsian menerusi program audiosiar bertajuk Hitam Putih Kehidupan yang dihoskan Datuk Rosyam Nor dan Datin Seri Adlzliana serta disiarkan di saluran YouTube Suhan Channel.
Rafie menunjukkan alat ‘trocar’ yang digunakan bagi proses menghancurkan organ dalaman mayat.
Menurut Rafie, proses pembersihan organ itu menggunakan sejenis alat dinamakan ‘trocar’ yang akan dihunus menusuk ke perut bagi menghancurkan organ dalaman badan jenazah.
Katanya, proses pengawetan itu merupakan prosedur wajib bagi jasad yang mahu diterbangkan dengan menggunakan kapal terbang dari luar negara.
“Bila tahu proses dia macam ni, orang akan cakap takutnya. Tapi ramai orang tak pernah tahu.
“Kadang-kadang bila keluarga dia meninggal dunia ketika cuti atau belajar di luar, dia akan cakap nak bawa balik, tak kira berapa kos pun boleh bayar. Tapi masalahnya dia tidak tahu apa yang terjadi pada mayat.
“Sampai-sampai mayat itu memang macam cantik, macam hidup macam tidur sahaja. Tapi sebenarnya dalamnya hancur dan menyakitkan mayat,” ujarnya.
Menurut Rafie, mengikut Islam, terdapat dua hukum yang diguna pakai berkaitan proses pengawetan berkenaan dan ia adalah berdasarkan kepada situasi.
“Harus sekiranya keadaan negara yang tempatnya meninggal itu tidak benarkan mayat warga asing dikebumikan. Contoh macam negara China, dia tidak benarkan rakyat asing atau orang luar dikebumikan di situ melainkan dibakar.
“Dalam kes tersebut, takkan kita nak biarkan keluarga kita dibakar. Jadi harus dibawa balik.
“Tapi (haram) bagi tempat yang contohnya negara ada tanah kubur dan boleh kebumi di situ. Tapi kalau keluarga nak juga, maka merekalah yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Disebabkan itu, Rafie berkata, adalah sebaiknya jika jenazah individu yang mati itu dikebumikan di tempat meninggal dunia
“Sebab Nabi Muhammad SAW pun bersabda, di mana meninggal dekat situlah kebumi. Pertamanya sebab sakitnya (proses) nak bawa balik mayat itu.
“Kedua, dari segi ganjaran itu, Nabi Muhammad SAW bersabda barangsiapa meninggal di luar tempat kelahirannya, maka akan dibina mahligai di syurga nanti sejauh tempat dia lahir sampai tempat dia meninggal,” ujarnya.
BACA:
Gara-gara tersepit ‘roller shutter’, lelaki ini dijemput malaikat maut