KKM jangka 6,000 kes positif Covid-19 dalam seminggu – Dr Noor Hisham

KKM jangka 6,000 kes positif Covid-19 dalam seminggu – Dr Noor Hisham

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan 6,000 kes positif koronavirus (Covid-19) dalam tempoh seminggu melebihi jangkaan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan tindakan kementerian melipatgandakan usaha di lapangan.

“Kalau universiti jangka 5,000 dalam tempoh dua minggu, kita sasar 6,000 kes dalam seminggu,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini semalam.

Menurutnya, kementerian memerlukan masa sehingga tiga minggu untuk melandaikan lengkungan.

“Kita sasar nilai kebolehjangkitan pada paras 0.5,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya optimis ia dapat dicapai dengan kerjasama semua pihak.

“Kita boleh capai target sekiranya ada kerjasama padu daripada rakyat Malaysia untuk bersama-sama bantu KKM dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Ahad lalu, penyelidik USM memberi amaran bahawa peningkatan kes sehingga 5,000 dalam tempoh dua minggu selain menjangkakan kes kematian berkaitan Covid-19.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kes positif Covid-19 yang dikesan di asrama pekerja kilang elektronik di Bangi mempunyai kaitan epidemiologi dengan Kluster Hentian yang terletak empat kilometer (KM) antara satu sama lain.

Katanya, kes tersebut menyumbang kepada peningkatan Kluster Hentian.

“Kalau dilihat hari ini (semalam) ada banyak pertambahan kes bagi kluster ini,” kata beliau ketika diminta untuk pengesahan mengenai kes berkenaan yang tular di media sosial.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh KKM, Kluster Hentian berada di tempat teratas merekodkan kes baharu dengan 67 kes.

Ia menjadikan jumlah kes positif adalah 325 kes dengan 241 pesakit masih dirawat di hospital.

Terdahulu, menerusi perkongsian Bangi Community di Twitter menyatakan 28 individu disahkan positif Covid-19 manakala 146 lagi masih menunggu keputusan.

Sementara itu, mengulas mengenai Kluster Dialisis yang dilaporkan semalam, Dr Noor Hisham berkata, tiga daripada petugas kesihatan KKM antara yang positif Covid-19.

“Satu daripada mereka membuat ujian saringan sporadik. Virus ini sudah ada dalam komuniti,” katanya.

Kluster Dialisis melibat daerah Sandakan dan Lahad Datu yang kini 19 individu disahkan positif Covid-19.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/108480/KHAS/Koronavirus/KKM-jangka-6000-kes-positif-seminggu