Kluster Menteri : KSN pula kena kuarantin

Kluster Menteri : KSN pula kena kuarantin

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali sedang menjalani kurantin kendiri di kediamannya sehingga 16 Oktober ini selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau yang mengesahkan perkara itu dalam laman Twitternya, turut menjelaskan proses berkenaan berikutan kehadirannya pada satu mesyuarat yang turut dihadiri seorang individu yang didapati positif COVID-19 pada 3 Oktober lalu.

Mohd Zuki berkata, ujian pengesanan COVID-19 yang dilakukannya negatif, namun beliau akan meneruskan kuarantin kendiri seperti disarankan kerajaan.

“Situasi ini bagaimanapun tidak akan mengganggu urusan pentadbiran perkhidmatan awam kerana saya akan melaksanakan amanah ini dengan berkerja di rumah.

“Saya memanfaatkan aplikasi digital dalam pelaksanaan tugas seperti sidang video bagi mesyuarat-mesyuarat yang dipengerusikan atau dihadiri saya,” katanya.

Beliau turut mengajak seluruh penjawat awam, terutamanya barisan hadapan untuk terus tabah dan bersemangat dalam memberikan khidmat bakti terbaik dalam keadaan yang penuh mencabar ini.

“Patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan membudayakan norma baharu, sama ada dalam pelaksanaan tugas mahupun kehidupan seharian.

“Jangan sesekali menyebarkan berita palsu yang boleh mencetuskan panik dalam masyarakat,” katanya.

Mohd Zuki juga mengingatkan ketua jabatan agar memberikan pelepasan khas daripada bertugas atau kebenaran bekerja dari rumah kepada pegawai yang disahkan mempunyai gejala jangkitan atau kontak rapat dengan individu disahkan positif COVID-19.

“Marilah kita semua berjuang melaksanakan tugas dengan komited dan dedikasi demi negara yang kita cintai,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/739357/ketua-setiausaha-negara-kuarantin-kendiri