KM Pulau Pinang ajak rakyat patuh arahan PKP

KM Pulau Pinang ajak rakyat patuh arahan PKP

Rakyat dan peniaga di Pulau Pinang diminta untuk tidak memandang enteng dan mengambil ringan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan sehingga 14 April ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pihak berkuasa, termasuk polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT), tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap mereka yang masih berdegil.

“Ini adalah untuk kebaikan kita semua. Bersabarlah untuk tempoh ini agar negara dan negeri kita kembali kepada keadaan sedia kala,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook peribadi beliau di George Town hari ini.

Chow berkata sehingga semalam, Polis Diraja Malaysia telah menahan sejumlah 158 orang awam yang ingkar arahan PKP di Pulau Pinang manakala Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengarahkan penutupan bahagian pasar Kompleks Sri Aman di Relau (gambar, bawah), juga berkuat kuasa semalam .

Penutupan itu adalah ekoran kegagalan pasar tersebut mengamalkan langkah-langkah jarakan sosial, tidak mengawal bilangan kemasukan pelanggan pada satu-satu masa dan tidak menyediakan cecair pembasmi kuman.

“MBPP juga telah mengarahkan semua pengusaha gerai di luar kawasan pasar Jelutong untuk menghentikan perniagaan mulai esok iaitu 30 Mac 2020.

“Pelbagai pendekatan telah diambil oleh MBPP termasuk pendidikan awam dan lain-lain sebelum mengeluarkan notis amaran sehingga arahan penutupan terpaksa diambil oleh pihak berkuasa berkaitan ekoran ketidakpatuhan PKP yang dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, Chow berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri esok bagi memperkasa dan memperincikan lagi langkah yang bakal diambil untuk terus melindungi Pulau Pinang daripada penularan wabak Covid-19.

 

Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/517506