Ladang durian di Gunung Inas lulus pada tahun 2013, kerajaan PAS atau BN yang luluskan?

Ladang durian di Gunung Inas lulus pada tahun 2013, kerajaan PAS atau BN yang luluskan?

Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah mendedahkan siasatan terhadap projek ladang durian di Gunung Inas di Baling, terutama berkenaan kelulusannya.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata, rakyat berhak tahu punca kawasan itu berada dalam tangan pemaju yang menjalankan projek yang melanggar perjanjian.

Katanya lagi, kerajaan Kedah juga perlu menyiasat kemungkinan kaitannya dengan banjir lumpur di situ dan pihak yang terlibat perlu membayar ganti rugi jika terbukti projek tersebut antara punca banjir dan menyebabkan kemusnahan harta benda penduduk.

“Kami berulang kali menegaskan bahawa hutan berperanan penting untuk kestabilan ekologi dan kualiti alam sekitar untuk kepentingan penduduk di negara ini.

“Hutan dan bukit adalah aset yang tiada nilainya untuk memelihara kualiti hidup rakyat. Nilai ekonomi dari hutan seperti di Gunung Inas tidak boleh diganti dengan ladang durian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Projek ladang durian di situ menjadi perhatian susulan video yang tular di media sosial sejak 6 Feb lalu.

Susulan itu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan kerajaan negeri pada Julai tahun lalu sudah mengarahkan agar projek itu dihentikan.

Sanusi juga berkata pihaknya telah memina laporan penuh berkenaan keadaan semasa di sana daripada semua agensi terlibat bagi menyiasat dakwaan kewujudan ladang durian terbesar seperti didakwa.

Mohideen berkata lagi, walaupun video tersebut dikatakan video lama, dakwaan kewujudan ladang durian Musang King seluas 30,000 ekar (12,140 hektar) seperti yang dipaparkan telah memberi kesan negatif.

“Menteri besar Kedah mengatakan arahan sudah dikeluarkan supaya kerja menanam pokok durian dihentikan. Akan tetapi arahan awal supaya pihak pemilik ladang itu menanam pokok liputan tanah dan pokok balak tidak dipantau supaya dipatuhi.

“Laporan yang mengatakan pada Disember 2019, pemilik telah mendapat kelulusan EIA (impak alam sekitar) dan Jabatan Perhutanan Negeri pada 2013 amat pelik sebab masyarakat awam tidak dimaklumkan mengenai kelulusan projek tersebut,” katanya.

Mohideen turut membangkitkan banjir yang menimpa Kupang di Bali pada 2019.

Pada 2 Nov 2019, Berita Harian melaporkan kejadian banjir di situ akibat projek penanaman ladang durian Musang King.

Laporan Berita Harian juga mendakwa ia juga tidak memenuhi syarat pembalakan di sana, iaitu penanaman semula anak pokok balak, bukannya tanaman durian.

“Kegagalan menanam pokok hutan sebagai ganti kepada hutan yang dilulus untuk dibalak adalah kegagalan di pihak penguat kuasa sendiri.

“Kami ingin mengingatkan bahawa kerosakan alam sekitar yang menjejaskan kualiti hidup penduduk tempatan tidak boleh dipandang ringan,” kata Mohideen yang turut menggesa kerajaan negeri lebih serius terhadap kesan aktiviti pembalakan dan pemusnahan bukit berskala besar yang menjejaskan kualiti alam sekitar.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/562158