Lagi ahli parlimen zahir tidak akan sokong belanjawan

Lagi ahli parlimen zahir tidak akan sokong belanjawan

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto membayangkan beliau tidak akan memberi sokongan kepada Belanjawan 2021 jika kerajaan Pakatan Nasional (PN) tidak melakukan pindaan terhadap bajet dibentangkan Jumaat lalu.

Menurutnya, semua Ahli Parlimen blok pembangkang menggesa dilakukan pindaan kerana belanjawan tersebut kurang membantu rakyat secara langsung termasuk perbelanjaan dalam menangani situasi semasa Covid-19 di negara ini.

“Jika kerajaan hendak sokongan blok pembangkang, maka mereka perlu lakukan sesuatu dengan segera, jika tidak kami tetap dengan pendirian kami untuk tidak menyokong belanjawan pada kali ini yang dilihat lebih kepada keperluan semasa kerajaan dan bukan diperuntukkan lebih untuk rakyat.

“Jadi kami berharap kerajaan mengambil kira cadangan, gesaan dan tuntutan kami yang berpaksikan keadaan rakyat, sektor kesihatan, sektor perniagaan dan ekonomi secara am,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Katanya, pihaknya mahu melihat bagaimana setiap kementerian menjawab soalan diutarakan di Parlimen nanti.

“Ada beberapa persoalan dan cadangan yang akan dibentangkan maka belanjawan rakyat akan saya sokong, bukan belanjawan kroni, belanjawan politik dan belanjawan kosmetik.

“Banyak perbelanjaan diperuntukkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang juga sektor propaganda kerajaan yang diwujudkan semula,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Mohamed Fadzil berkata, kerajaan perlu meneliti belanjawan yang dibentangkan kali ini ekoran banyak peruntukan disalurkan kepada pihak kerajaan tanpa benar-benar membela nasib rakyat.

“Dari sudut lain sebenarnya kewujudan Jasa sendiri sebagai contoh, bertindih dengan pelbagai agensi sedia ada termasuk Jabatan Penerangan, RTM, Bernama, Komunikasi Strategik malah juga Unit Komunikasi Korporat Kementerian.

“Jadi mengapa jumlah sebegitu besar dibelanjakan untuk mengembalikan Jasa,” katanya.

Menurutnya, peruntukan besar RM85.5 juta kepada Jasa seharusnya boleh digunakan untuk perbelanjaan kesihatan dengan pembinaan dua klinik dilengkapi peralatan perubatan terkini dan mampu memberi khidmat kepada hampir 500 hingga 800 pengunjung setiap hari.

“Ia juga boleh digunakan untuk membina tiga bangunan sekolah dan 24 bilik darjah bagi memastikan sistem pendidikan lebih baik di negara kita ini,” katanya.

Kelmarin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan bahasnya turut mempersoalkan Belanjawan 2021 disifatkan tidak munasabah dan tidak realistik ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/109749/BERITA/Nasional/Pinda-atau-kami-tidak-akan-sokong